KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim Negara dijangka ditangguhkan bagi membolehkan libat urus secara langsung dan menyeluruh dengan perniagaan dan persatuan.
Datuk Seri Johari Abdul Ghani, yang diamanahkan dengan tanggungjawab dan menjalankan fungsi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, berkata penting bagi pemain industri memahami sepenuhnya implikasi dan keperluan akta tersebut termasuk elemen seperti pengenalan cukai karbon.
"Saya mahu mengadakan libat urus langsung dengan semua perniagaan dan persatuan...komuniti perniagaan perlu memahami mengapa kami membentang RUU ini, ia sebenarnya untuk kebaikan ekonomi pada masa depan," katanya kepada media selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Penyesuaian Iklim dan Ketahanan (A&R) di Suruhanjaya Sekuriti (SC) di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi dan Duta Belanda ke Malaysia, Jacques Werner.
Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komodi berkata proses libat urus itu akan dijalankan secepat mungkin dan tidak akan dipanjangkan tanpa keperluan sambil menekankan bahawa perundangan itu adalah untuk faedah jangka panjang ekonomi negara.
Beliau turut memberikan jaminan bahawa kelewatan membentangkan RUU itu tidak akan menjejaskan komitmen Malaysia terhadap Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) di bawah Perjanjian Paris.
Dalam ucaptamanya, Johari berkata undang-undang yang dicadangkan dikenali sebagai Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) akan merangkumi kedua-dua langkah mitigasi dan penyesuaian.
Beliau berkata RUU itu akan memberikan dorongan kepada pembangunan pasaran karbon domestik, meningkatkan penjajaran dengan sasaran sifar bersih dan NDC.
"Langkah-langkah mitigasi ini adalah penting dalam memenuhi NDC kita. Namun, walaupun kita berusaha untuk menangani perubahan iklim, kita mesti bersedia untuk berdepan kesannya," katanya.
-- BERNAMA