AM

NSWO KOMITED PERKASA WANITA, BANTU KELUARGA MEMERLUKAN

14/10/2025 09:05 PM

SEREMBAN, 14 Okt (Bernama) -- Pertubuhan Wanita Negeri Sembilan (NSWO) terus menunjukkan komitmen tinggi dalam memperjuangkan kebajikan wanita dan membantu golongan memerlukan melalui pelbagai inisiatif kebajikan.

Yang Dipertua NSWO Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin berkata menerusi Pelan Strategik NSWO 2015, semua program yang dianjurkan memberi fokus kepada memperkasakan wanita termasuk bantuan kepada ibu tunggal, anak yatim, mangsa bencana dan keluarga berpendapatan rendah.

Beliau berkata melalui Biro Kebajikan dan Sosial, pelbagai inisiatif bantuan dilaksanakan kepada mereka yang memerlukan khususnya dalam pembangunan dan pemerkasaan wanita sebagai tulang belakang kesejahteraan keluarga dan masyarakat.

"Organisasi yang menghimpunkan 25 badan gabungan wanita itu bukan sahaja menjadi payung kepada pelbagai program kebajikan dan pembangunan wanita, tetapi juga menjadi penggerak utama memperkukuh jaringan sokongan sosial di Negeri Sembilan.

“NSWO sentiasa berusaha memastikan golongan wanita, khususnya ibu tunggal dan berpendapatan rendah terus diberi peluang meningkatkan taraf hidup melalui bantuan kemahiran dan sokongan berterusan,” katanya semasa berucap pada majlis penyampaian sumbangan Deepavali anjuran NSWO dan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI) di sini hari ini.

Pada program berkenaan sebanyak 39 individu daripada golongan B40 menerima sumbangan keperluan harian dan wang tunai RM200 yang diwakilkan kepada pengerusi persatuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masing-masing.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Tukang Jahit dan Kraftangan Jempol G. Puranam, 51, yang menerima dua mesin jahit mudah alih daripada NSWO berkata pemberian berkenaan diharap dapat menggalakkan lebih ramai penglibatan wanita dalam bidang jahitan.

“Kami kini mempunyai 11 mesin jahit dan dengan penambahan dua unit ini, ia mampu memberi manfaat kepada kira-kira 30 pelajar di bawah persatuan ini,” katanya. 

Beliau berkata sokongan daripada pelbagai pihak amat penting dalam memperkasakan wanita kerana apabila seseorang wanita memiliki kemahiran, mereka bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan malah turut membantu memperkukuh ekonomi keluarga.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan