KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengeluarkan surat tunjuk sebab (STS) bertarikh 13 Okt kepada KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) susulan kemalangan melibatkan lori milik syarikat itu di Plaza Tol Batu 14, Puchong pada 10 Okt lepas.
APAD dalam kenyataannya memaklumkan susulan insiden tersebut, semua permohonan baharu oleh KDEBWM turut dibekukan sehingga siasatan berhubung kemalangan itu selesai.
“Siasatan intensif sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan memastikan langkah penambahbaikan diambil.
“Sekiranya didapati berlaku pelanggaran syarat lesen, tindakan penggantungan atau pembatalan lesen boleh dikenakan mengikut Seksyen 62 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715),” menurut kenyataan itu.
APAD turut menegaskan agensi itu tidak akan berkompromi terhadap aspek keselamatan dan mengingatkan semua pengendali supaya sentiasa mematuhi syarat lesen, memastikan pemandu bertauliah serta kenderaan diselenggara dengan baik dan dilengkapi ciri keselamatan.
“APAD kekal komited memastikan sistem pengangkutan awam darat yang selamat dan berdaya saing demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Dalam kemalangan kira-kira 2.30 petang itu, kelindan lori berkenaan mengalami kecederaan parah di muka dan kepala selepas lori yang dipandu seorang lelaki warga Indonesia hilang kawalan sebelum merempuh tembok Plaza Tol Puchong.
Pemandu berkenaan kemudian melarikan diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA