AM

MATBALI PUJI KERAJAAN MADANI PERKASA INFRASTRUKTUR DIGITAL DI SIPITANG

15/10/2025 06:12 PM

SIPITANG, 15 Okt (Bernama) -- Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah memuji keprihatinan kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang terus memberi tumpuan terhadap pembangunan infrastruktur digital di kawasan pedalaman Sabah.

Beliau berkata langkah kerajaan memperkenalkan pelan pemasangan sistem jana kuasa hibrid di beberapa lokasi menara telekomunikasi termasuk di kawasan Long Pasia dan Meligan menunjukkan kesungguhan untuk memastikan rakyat luar bandar turut menikmati capaian Internet yang stabil dan berterusan.

“Beliau (Fahmi) telah memberikan gambaran cukup jelas tentang keprihatinan beliau selaku menteri bertanggungjawab untuk mengenal pasti kawasan yang perlu kita naik taraf, khususnya di kawasan Parlimen Sipitang.

“Jadi maknanya, kawasan terpencil juga perlu menikmati apa yang diberikan ini dalam memastikan kita terus harmoni, sejahtera dalam negara Malaysia tercinta,” katanya kepada pemberita pada program NADI on Wheels (NOW) di sini hari ini.

Program berkenaan yang dirasmikan Fahmi turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia dan Korporat) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Datuk Zurkarnain Mohd Yasin serta Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj.

Kawasan Long Pasia dan Meligan dalam daerah Sipitang terletak kira-kira 250 kilometer (km) dari Kota Kinabalu, menjadikannya antara kawasan pedalaman yang terpencil di Sabah.

Pada program itu, Fahmi berkata beliau telah mengarahkan MCMC untuk berhubung dengan syarikat telekomunikasi bagi menambah baik menara komunikasi yang kerap mengalami gangguan elektrik, termasuk melalui pemasangan sistem janakuasa hibrid yang menggabungkan tenaga solar, diesel dan bateri.

Beliau berkata inisiatif berkenaan antara langkah kesiapsiagaan menjelang Monsun Timur Laut bagi memastikan menara komunikasi tidak terjejas akibat banjir serta memastikan perkhidmatan Internet kekal beroperasi.

Matbali berkata pelaksanaan projek hibrid itu adalah berita yang amat dinantikan oleh penduduk di kawasan pedalaman Sipitang yang selama ini berdepan dengan cabaran akses kepada kemudahan digital.

“Ini yang ditunggu-tunggu oleh rakyat di kawasan Long Pasia, Meligan dan kawasan pedalaman lain. Sekurang-kurangnya dengan adanya apa yang telah diberitahu oleh menteri sebentar tadi memberikan suatu penyuntik semangat khususnya kepada warga di kawasan Parlimen Sipitang untuk terus menikmati apa yang dapat dinikmati di kawasan lain,” katanya.

Beliau turut menyifatkan usaha kerajaan MADANI sebagai bukti bahawa keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat menjadi tumpuan utama tanpa mengira latar belakang kaum atau agama.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan