AM

GANGGUAN BEKALAN STESEN PENJANA DI MELAKA PUNCA BEKALAN ELEKTRIK TERJEJAS DI LEMBAH KLANG, JB - TNB

15/10/2025 06:40 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang dan Johor Baharu terputus bekalan elektrik susulan insiden gangguan bekalan di Stesen Penjana Bebas, Edra Power Plant di Melaka hari ini.

TNB menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan gangguan bekalan di sekitar kawasan terbabit adalah akibat pelantikan di Edra Power Plant.

“Pasukan teknikal TNB sedang berusaha memulihkan bekalan secara berperingkat kepada pengguna yang terjejas,” menurut kenyataan itu.

TNB turut menasihati orang awam supaya segera melaporkan sebarang gangguan bekalan elektrik dengan menghubungi talian 15454 atau menghantar pesanan menerusi Facebook TNB Careline, media sosial X @Tenaga_Nasional atau e-mel tnbcareline@tnb.com.my.

TNB turut memaklumkan bekalan elektrik yang terjejas susulan insiden gangguan bekalan di stesen penjana itu sedang dipulihkan secara berperingkat.

Menurut kenyataan itu, setakat 5.30 petang, bekalan telah dipulihkan di kawasan ⁠Damansara City,  ⁠⁠Sri Hartamas, ⁠⁠Danau Desa, SPPK Cheras, ⁠ ⁠Ampang, ⁠⁠Bukit Jalil,⁠ ⁠⁠Sri Damansara, ⁠Kota Puteri dan Pasir Gudang Darat.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan