AM

NILAI EKSPORT PERANTI PERUBATAN MALAYSIA LONJAK 31 PERATUS KEPADA RM37 BILION TAHUN LEPAS - DZULKEFLY

15/10/2025 07:17 PM

PUTRAJAYA, 15 Okt (Bernama) -- Industri peranti perubatan Malaysia terus mencatat pertumbuhan dan daya tahan luar biasa apabila eksport produk terbabit meningkat sebanyak 31 peratus tahun lepas dengan nilai mencecah RM37 bilion.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata antara 2021 dan 2024, sektor berkenaan berjaya menarik pelaburan domestik dan asing berjumlah RM20 bilion, sekali gus menyumbang kira-kira RM1.8 bilion setahun kepada keluaran dalam negara kasar dan telah mewujudkan lebih 130,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), sektor peranti perubatan diiktiraf sebagai pemangkin pertumbuhan strategik yang berupaya meningkatkan nilai pelaburan Malaysia, mengukuhkan rantaian bekalan tempatan serta meletakkan negara sebagai hab bertaraf dunia dalam bidang teknologi dan inovasi perubatan," katanya.

Dzulkefly berkata demikian ketika berucap pada Majlis Prapelancaran Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2026 dan Program Pembangunan Keusahawanan Sektor Peranti Perubatan (MedTechPreneur 1.0) di sini hari ini.

Beliau berkata Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) terus menunjukkan kepimpinan kawal selia yang maju dan berkesan menerusi Program Kebergantungan Kawal Selia bersama China dan Singapura, yang membolehkan peranti diluluskan oleh MDA didaftarkan melalui laluan singkat di negara-negara terbabit dan sebaliknya.

"Pencapaian ini menandakan era baharu kerjasama serantau dan pengiktirafan bersama, mengurangkan kerja berulang dan mempercepat kemasukan pasaran antara negara,” katanya.

Mengenai IMDEC 2026 yang dijadual berlangsung selama tiga hari bermula 26 Ogos 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Dzulkefly berkata ia akan menjadi platform global utama untuk pertukaran pengetahuan, inovasi dan kerjasama.

Bagi Program MedTechPreneur 1.0, inisiatif bersama Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), beliau berkata ia bermatlamat melahirkan generasi usahawan MedTech yang kompetitif di peringkat global.

“Ia selari dengan agenda Ekonomi MADANI, Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dan NIMP 2030, memperkasakan syarikat pemula serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana untuk berinovasi, berkembang, dan menembusi pasaran global.

“Inisiatif ini juga menyediakan sokongan berstruktur dalam pembangunan produk, pensijilan, pematuhan kawal selia dan pengkomersialan,” katanya.

Dzulkefly berkata MedTechPreneur 1.0 adalah platform nasional strategik yang menghubungkan penyelidik, universiti, industri dan pelabur untuk menterjemahkan inovasi Malaysia ke dalam teknologi perubatan bertaraf dunia.

"Menerusi kerjasama ini, kami berhasrat membina ekosistem yang kukuh untuk mengubah Malaysia daripada pengguna kepada pencipta, memastikan inovator dan usahawan tempatan menjadi pemain utama dalam sektor kesihatan global,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dalam ucapannya berkata Program MedTechPrenuer 1.0 dapat membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk berkecimpung dalam industri peranti kesihatan, seterusnya mengisi ruang dalam rantaian nilai global sebagai pengeluar dan pencipta teknologi perubatan masa hadapan. 

"KUSKOP yang telah diberi mandat untuk menerajui pembangunan bidang keusahawanan dan koperasi sentiasa komited dalam membantu usahawan dan koperasi dalam memperkasakan ekosistem keusahawanan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan