AM

GAMBAR DAN IDENTITI KANAK-KANAK TIDAK BOLEH DISEBARKAN, PERLU DILINDUNGI - PEGUAM

15/10/2025 07:28 PM

Oleh Nor Fariza Mohd Razhi

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Sebarang identiti, gambar, video dan maklumat berkaitan suspek, mangsa serta saksi kanak-kanak yang berumur bawah 18 tahun perlu dilindungi dan tidak boleh sewenang-sewenangnya disebarkan oleh mana-mana pihak termasuk media.

Bekas Majistret Mahkamah Sungai Siput Ahmad Shamil Azad berkata Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 dengan jelas melarang penyiaran atau penyebaran maklumat berkaitan kanak-kanak yang terlibat dalam sesuatu kes sama ada mereka adalah suspek, mangsa atau saksi.

Beliau berkata pendedahan dan penyebaran lokasi kejadian juga wajar dielakkan kerana kes masih dalam siasatan dan sebarang spekulasi awal boleh mewujudkan isu 'sub judice' sekiranya maklumat atau bahan bukti disiarkan sebelum perbicaraan dijalankan.

“Ini boleh menjejaskan keadilan sesuatu perbicaraan sekiranya maklumat penting disebarkan lebih awal,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ahmad Shamil, yang kini peguam, berkata individu yang melanggar peruntukan Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak berdepan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata penyebaran maklumat sedemikian bukan sahaja memberi kesan negatif kepada keluarga mangsa tetapi juga suspek kerana melibatkan maklumat sensitif membabitkan kanak-kanak di bawah umur.

Tindakan itu juga, katanya, boleh mengundang perhatian yang tidak diingini daripada pelbagai pihak seterusnya menjejaskan kesejahteraan emosi pihak-pihak terlibat.

"Kejadian ini sudah cukup memberi trauma dan kejutan besar kepada mereka, dan penyiaran wajah atau identiti mereka di media sosial hanya akan menambah beban emosi.

“Oleh itu, adalah lebih baik sekiranya maklumat serta identiti mereka tidak disebarkan secara terbuka sebaliknya biarlah siasatan dijalankan dengan menyeluruh dan segala keterangan dikemukakan di mahkamah," katanya.

Ahmad Shamil turut menasihati pihak media supaya berhati-hati dan peka dalam melaporkan kes melibatkan kanak-kanak kerana ia adalah isu sensitif yang boleh menjejaskan siasatan dan perbicaraan serta menegaskan laporan seharusnya berasaskan fakta yang disahkan, bukan spekulasi.

Beliau berkata setiap suspek dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dan adalah tidak wajar mereka dihukum melalui pandangan awam sebelum proses perbicaraan dilaksanakan.

Peguam Abu Dzar Mohd Annuar pula berkata pelajar sekolah berumur di bawah 18 tahun dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dan adalah menjadi kesalahan untuk mendedahkan nama, alamat, institusi pendidikan atau apa-apa butir yang boleh membawa kepada pengecaman kanak-kanak yang terlibat dalam sesuatu kes.

"Ini termasuk penyebaran gambar, video atau maklumat lokasi yang boleh mengaitkan identiti kanak-kanak tersebut... larangan ini merangkumi semua bentuk penyiaran sama ada di media cetak, televisyen mahupun platform digital seperti media sosial," katanya.

Beliau berkata hukuman bagi kesalahan mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jelas menunjukkan betapa seriusnya undang-undang dalam melindungi hak privasi dan keselamatan kanak-kanak.

Bagi bekas Majistret Mahkamah Kuala Lumpur Nur'Aminahtul Mardiah Md Nor, perbuatan menularkan kandungan seperti gambar atau video pembunuhan tanpa kebenaran boleh menjadi kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 505 Kanun Keseksaan. 

"Ia bukan sahaja melibatkan aspek privasi dan sensitiviti keluarga mangsa malah boleh mengganggu proses siasatan serta ketenteraman awam.

"Oleh itu, penyebaran tanpa izin bukan sahaja tidak beretika malah boleh menyebabkan tindakan jenayah, saman sivil atau hukuman denda dan penjara," katanya yang kini berkhidmat sebagai peguam.

Terdahulu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dalam kenyataan hari ini menggesa orang ramai supaya bertindak dengan penuh tanggungjawab serta tidak berkongsi, menghantar semula atau memuat naik sebarang kandungan berkaitan kes tikam seorang pelajar perempuan di Bandar Utama.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan