KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Asia e University (AeU) menjadi universiti pertama di Malaysia dan peringkat global menawarkan peluang kepada pelajar dan alumni Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) untuk meraih pengiktirafan berprestij Fellow Chartered Management Institute (FCMI) melalui laluan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu bagi Tujuan Penganugerahan Kelayakan (APEL.Q).
Inisiatif berkenaan direalisasikan menerusi kerjasama AeU dengan Chartered Management Institute (CMI) daripada United Kingdom, yang bermatlamat mengiktiraf kecemerlangan kepimpinan serta pencapaian profesional dalam kalangan profesional perniagaan berpengalaman.
Pengasas dan Presiden AeU Prof Datuk Dr Ansary Ahmed berkata kerjasama berkenaan menandakan langkah penting dalam usaha universiti itu untuk memartabatkan pembelajaran sepanjang hayat dan meningkatkan pengiktirafan profesional bagi individu dewasa yang bekerja.
“Sebagai universiti yang diwujudkan untuk pembelajaran sepanjang hayat, kami sentiasa berpegang pada prinsip pemberian peluang kedua kepada golongan dewasa yang bekerja untuk menimba pendidikan tinggi berkualiti.
“Program DBA menerusi APEL.Q menarik minat profesional berpengalaman dengan lebih daripada 25 tahun pengalaman kerja, iaitu lebih dua kali ganda daripada syarat untuk fellowship FCMI, menjadikan kerjasama ini sangat sesuai,” katanya kepada Bernama selepas majlis perasmian Anugerah dan Sijil Fellowship AeU-CMI di sini hari ini.
Ansary berkata kerjasama berkenaan bukan sekadar mengukuhkan reputasi program DBA AeU, malah membuka peluang kepada sarjana dan alumni untuk memperoleh pengiktirafan bertaraf antarabangsa yang mencerminkan pencapaian mereka dalam kepimpinan dan pengurusan.
“Sejurus kami mengumumkan laluan ini (APEL.Q), hampir semua sarjana DBA kami berminat untuk mengambil peluang. Bagi kebanyakan mereka, khususnya golongan usahawan dan profesional kanan, gelaran FCMI merupakan satu penghormatan yang memberi makna kepada kepimpinan mereka sepanjang hayat,” katanya.
Beliau berkata AeU turut berhasrat memperluas kerjasama dengan CMI bagi melibatkan program ijazah sarjana dan ijazah sarjana muda melalui APEL.Q memandangkan ramai dalam kalangan pelajar terbabit turut memenuhi syarat pengalaman profesional yang ditetapkan untuk kelayakan fellowship.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CMI Ann Francke berkata fellowship adalah ‘satu pengiktirafan yang amat berprestij’ yang mencerminkan tahap tertinggi kepimpinan global dan amalan beretika.
“Mereka adalah para profesional yang mengamalkan nilai-nilai amalan terbaik dalam pengurusan dan kepimpinan setiap hari. Walaupun mempunyai kerjaya yang panjang dan cemerlang, mereka terus melanjutkan pembelajaran dan CMI memastikan mereka sentiasa bertanggungjawab.
“Gelaran FCMI bukan sekadar satu pengiktirafan, tetapi melambangkan komitmen terhadap pembelajaran sepanjang hayat, kepimpinan beretika dan keterangkuman, yang mencerminkan dedikasi berterusan mereka untuk mencapai kecemerlangan,” katanya.
Beliau berkata kerjasama AeU-CMI juga merupakan satu program yang unik dan inovatif, yang diiktiraf di United Kingdom sebagai contoh amalan terbaik di peringkat antarabangsa dalam pembangunan profesional.
Beliau berkata penerima FCMI daripada AeU juga akan berpeluang untuk terlibat dengan Rangkaian Kepimpinan Global CMI, menyumbang dalam kepimpinan pemikiran, berkongsi penyelidikan dan pengalaman serta memberi inspirasi kepada ahli komuniti global CMI.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian anugerah FCMI kepada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad serta Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh bersama 42 penerima lain sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan kepimpinan dan pencapaian profesional mereka.
-- BERNAMA