AM

MURUKU DAN FILEM "TRADISI BUDAYA" YANG MENYERIKAN LAGI SAMBUTAN DEEPAVALI

16/10/2025 01:01 PM

Oleh R.Ratcharathan

GEORGE TOWN, 16 Okt (Bernama) -- Tatkala sambutan Deepavali menerangi kediaman komuniti India di seluruh negara Malaysia, pancarana cahaya daripada layar pawagam turut menjadi daya tarikan. 

Bagi masyarakat India, Deepavali bukan sekadar masa untuk berdoa dan menikmati manisan serta muruku, bahkan merupakan peluang untuk menikmati keseronokan menonton filem Tamil terbaharu bersama keluarga.

Setiap tahun, syarikat perfileman utama Kollywood akan memilih musim Deepavali untuk menayangkan filem utama mereka, sementara pawagam di Malaysia bersiap sedia menerima kehadiran peminat, satu fenomena yang mencerminkan evolusi identiti masyarakat India.

Ketua Produksi dan Edaran Malik Streams Corporation Pravindrran Joel Panersilbam berkata  menonton filem bersama keluarga pada Deepavali sudah menjadi “tradisi budaya” bagi kebanyakan masyarakat India di negara ini. 

Memandangkan sambutan itu juga bertepatan dengan cuti panjang ia juga peluang untuk keluarga meluangkan masa berkualiti bersama sekali gus menjadikannya antara kesempatan paling strategik untuk  menayangkan filem Tamil di Malaysia.

“Suasana perayaan yang diserikan dengan filem-filem baharu pastinya menarik minat lebih ramai penonton untuk ke pawagam sempena Deepavali.

“Kami sentiasa meneliti trend semasa dan sentimen penonton sebelum memuktamadkan sesebuah tajuk. Tahun ini, kami mempunyai tiga filem untuk ditayangkan antaranya ialah ‘Dude’ terbitan Malik Streams, lakonan Pradeep Ranganathan dan Mamitha Baiju,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Sementara itu, kelab peminat turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh tradisi menonton filem justeru itu, Presiden Malaysian Vijay Fan (MVF) dan TVK Malaysia Sharmanath Raman berkata Deepavali bukan sekadar Pesta Cahaya tetapi juga pesta menonton filem-filem Tamil di pawagam. 

“Menonton filem Tamil pada Deepavali ibarat makan murukku, ia sebahagian daripada budaya kami … ,” katanya.

Sharmanath adalah antara individu terawal yang menubuhkan kelab peminat khusus untuk seorang pelakon di Malaysia pada akhir tahun 2000-an, iaitu Thalapathy Vijay dan pada 2017 kelabnya mendapat kebenaran untuk menganjurkan tayangan awal pada 7 pagi sempena Deepavali untuk filem Mersal. 

Sejak itu, tayangan awal pagi menjadi kelaziman, khususnya untuk filem lakonan bintang terkenal seperti Rajinikanth, Kamal Hassan, Vijay dan Ajith Kumar.

Walaupun kemunculan pelbagai platform digital dan penstriman over-the-top, Sharmanath yakin budaya menonton filem di pawagam pada musim perayaan kekal menjadi pilihan. 

Penganut Hindu akan menyambut Deepavali pada 20 Okt ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan