PUTRAJAYA, 16 Okt (Bernama) -- Ibu bapa diseru lebih tegas dan bertanggungjawab dalam memantau aktiviti anak-anak di media sosial serta permainan dalam talian (online gaming), kata isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (Kasih Malaysia) berkata pengawasan yang konsisten amat penting bagi mengelak generasi muda terdedah kepada pengaruh negatif dalam dunia digital.
“Kita baru sahaja dikejutkan dengan beberapa kes yang melibatkan pelajar sekolah. Kes rogol dan rakamannya disebarkan serta kes bunuh, yang mangsa ditikam berkali-kali oleh pelakunya.
“Bermula dari sekarang, buatlah pemantauan terhadap anak-anak anda, terutamanya dunia mereka di media sosial atau permainan dalam talian. Awasi mereka, berikanlah lebih perhatian kepada mereka. Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut menyuarakan kebimbangan Seri Paduka Baginda terhadap kesan media sosial ini,” katanya ketika berucap melancarkan program pensijilan dan PsyQiQ Plus Open University Malaysia (OUM) di sini hari ini.
Dr Wan Azizah berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberikan komitmen untuk mengambil tindakan tegas berhubung isu penggunaan media sosial, manakala Kementerian Pendidikan sedang meneliti langkah-langkah segera bagi menanganinya.
Semalam, Anwar berkata langkah tegas bagi menangani isu disiplin dan keselamatan di sekolah termasuk pengaruh media sosial dalam kalangan pelajar akan dibincangkan oleh Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Sejak akhir-akhir ini, beberapa insiden serius membabitkan pelajar sekolah dilaporkan termasuk kes rogol melibatkan empat pelajar lelaki tingkatan lima dan seorang pelajar perempuan tingkatan tiga di Melaka, yang membawa kepada tindakan buang sekolah serta-merta.
Selasa lepas, seorang pelajar perempuan tingkatan empat maut ditikam oleh seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di sebuah sekolah menengah di Selangor.
Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata lebih banyak perkhidmatan sokongan psikososial yang mampan dan mudah diakses perlu diwujudkan bagi membolehkan rakyat Malaysia mendapat bantuan segera.
Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2023 mendedahkan bahawa hampir 30 peratus rakyat dewasa mengalami simptom tekanan, keresahan atau kemurungan.
“Kita mahu supaya saluran untuk mendapatkan bantuan ini mudah diakses, di hujung jari sahaja. Saya percaya isu kesihatan mental ini memerlukan pendekatan yang lebih spesifik, dengan kemahiran yang unik dan latihan-latihan daripada badan-badan yang sah,” katanya.
Pada majlis itu, OUM memperkenalkan empat program pensijilan, iaitu sijil asas kaunseling, sijil profesional kaunseling kesihatan mental, sijil profesional psikologi dan sijil pengajian Islam lanjutan.
Turut dilancarkan ialah PsyQiQ Plus, iaitu aplikasi berasaskan web yang dibangunkan OUM hasil daripada projek penyelidikan untuk menjalankan program pemprofilan psikometrik terhadap pelajar.
Hadir sama, Presiden dan Naib Canselor OUM Prof Dr Ahmad Izanee Awang.
-- BERNAMA