Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) adakan perbincangan tentang insentif alternatif untuk menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) berikutan pemansuhan pengecualian duti eksais ke atas kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU) mulai 2026, kata Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata walaupun terdapat perbincangan berterusan antara MITI dan Kementerian Kewangan (MoF), tiada insentif alternatif dicadangkan setakat ini.
“Perbincangan sedang berjalan dengan MOF, bagaimanapun tiada cadangan dikemukakan,” katanya ketika ditemui Bernama di luar Mesyuarat Rangkaian Amalan Kawal Selia (GRP) Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) ke-10.
Ditanya mengenai kutipan duti eksais yang dijangka meningkat 2.3 peratus kepada RM12.79 bilion pada 2026 daripada RM12.51 bilion tahun ini, Tengku Zafrul berkata: “Butiran itu perlu dirujuk kepada MoF.”
Kementerian Kewangan dalam laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan menyatakan bahawa penamatan tempoh insentif pengecualian cukai (tax holiday) untuk EV CBU akan menambah baik kutipan duti eksais.
Kementerian berkata angka itu berdasarkan pengeluaran kenderaan bermotor menyederhana, pengenalan model kenderaan baharu dan aktiviti promosi dipergiatkan serta penghapusan pengecualian duti eksais ke atas EV CBU.
Malaysia telah menetapkan sasaran beraspirasi tinggi untuk penggunaan EV, menyasarkan 20 peratus daripada jualan kenderaan baharu akan didomimisasi oleh EV menjelang 2030, 50 peratus menjelang 2040, dan 80 peratus menjelang 2050.
-- BERNAMA