AM

JUALAN AGRO MADANI BERI IMPAK POSITIF, CATAT NILAI JUALAN RM32.8 JUTA

16/10/2025 05:18 PM

KUALA NERUS, 16 Okt (Bernama) -- Program Jualan Agro MADANI (JAM) terus menunjukkan impak positif sejak pelancarannya pada 2023, menyaksikan hingga September 2025 sebanyak 1,778 program  dilaksanakan dengan nilai jualan melebihi RM32.8 juta.

Sepanjang tempoh itu juga ia mencatatkan penjimatan pengguna sebanyak RM9.8 juta dan penyertaan lebih 24,000 usahawan.

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Aminuddin Zulkipli berkata hasil kajian bersama pihak Universiti Kuala Lumpur (UniKL) terhadap keberkesanan program itu bagi tahun 2024 mendapati faktor penjimatan mencatatkan penarafan lima bintang di semua negeri.

"Ini menunjukkan bahawa program JAM benar-benar berjaya meringankan kos sara hidup pengguna termasuk pembelian Kombo MADANI yang menawarkan barangan asas pada harga jauh lebih rendah.

“Ini bukan sekadar angka atas kertas tetapi gambaran sebenar dasar kerajaan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat. FAMA akan terus pastikan program ini kekal berimpak tinggi dan menjadi satu instrumen utama membantu kerajaan mengawal tekanan kos sara hidup," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Jualan Agro Madani Terengganu 2025 di sini hari ini.

Aminuddin berkata sebanyak 101 program telah dilaksanakan dengan nilai jualan mencecah RM1.7 juta di Terengganu sekali gus memberi manfaat kepada hampir 800 usahawan tempatan di negeri itu.

“Ini pencapaian membanggakan dan menunjukkan rakyat Terengganu bukan sahaja pengguna bijak, malah penyokong tegar kepada produk hasil bumi sendiri,” katanya.

Karnival Jualan Agro MADANI @ Terengganu 2025 yang diadakan selama empat hari bermula hari ini di Pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak di sini dijangka menarik lebih 40,000 pengunjung sepanjang empat hari penganjuran, dengan sasaran nilai jualan melebihi RM1.2 juta.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan