BATU PAHAT, 16 Okt (Bernama) -- Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Simpang Tiga Tongkang Pechah (S3TP) berhasrat memperluas pelaksanaan program kemasyarakatan dengan penglibatan pelbagai kaum sebagai usaha memperkukuh perpaduan dan semangat muhibah dalam kalangan penduduk setempat.
Pengerusi Pekida S3TP Saiful Aidil Mokhtar berkata pihaknya tidak mahu kegiatan pertubuhan itu dilihat hanya tertumpu kepada aspek kebajikan semata-mata, sebaliknya mahu memperkenalkan pengisian yang lebih inklusif dan terbuka termasuk aktiviti kebudayaan dan kesenian.
“Jika sebelum ini kami banyak menumpukan kepada aktiviti kebajikan seperti membantu golongan B40, selepas ini kami mahu memperluas lagi pengisian program dengan penyertaan semua pihak, tanpa mengira bangsa dan latar belakang.
“Kita juga akan libatkan golongan muda bagi mencari titik persamaan, memupuk kerjasama dan dalam masa sama menghilangkan jurang perbezaan serta memberikan ruang kepada masyarakat untuk berkongsi dan memahami kebudayaan antara satu sama lain,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan sumbangan keperluan harian kepada 120 penerima B40 di sekitar Tongkang Pechah, di sini hari ini.
Beliau berkata Pekida S3TP turut merancang menjalin kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daripada masyarakat Cina dan India bagi menjayakan program yang lebih bersifat perpaduan komuniti.
Saiful Aidil berkata sejak ditubuhkan pada awal tahun ini, Pekida S3TP telah menganjurkan enam program membabitkan penduduk di sekitar Tongkang Pechah termasuk edaran bubur lambuk secara percuma, penyerahan sumbangan keperluan harian kepada golongan memerlukan serta membantu pengurusan jenazah keluarga B40.
“Selepas ini, kami sasarkan sekurang-kurangnya satu aktiviti setiap bulan dengan penglibatan pelbagai kaum, khususnya dalam aspek kebudayaan dan kesenian,” katanya.
-- BERNAMA