KOTA KINABALU, 16 Okt (Bernama) -- Kementerian Komunikasi akan memanggil syarikat kontraktor yang mengendalikan projek Point of Presence (PoP) di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) Zon Industri 5 dan 6 untuk memberi keterangan berhubung masalah jajaran kabel fiber optik terputus di kawasan berkenaan.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata selain isu kabel terputus, PoP berkenaan turut menghadapi masalah lain seperti peti kabinet dan tiang rosak yang sepatutnya dipelihara dengan baik oleh syarikat terlibat.
"Sepatutnya dalam tempoh lima tahun dari tamat tempoh siap, projek ini masih harta kerajaan yang mesti dijaga oleh syarikat VC Telecoms Sdn Bhd yang bertanggungjawab terhadap projek ini.
"Kita dapati dua peti kabinet telah dirosakkan, ada kecurian... kemudian laluan ini ada pelebaran jalan tetapi kontraktor tidak mengalihkan tiang malah ada tiang-tiang yang telah patah dan kabel yang putus.
“Jadi saya telah mengarahkan supaya syarikat tersebut dipanggil segera," katanya kepada Bernama selepas meninjau projek berkenaan di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Pegawai Penyelia Projek Kementerian Komunikasi Rosmarlinda Rosli.
Fahmi berkata pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya apabila syarikat berkenaan selesai memberikan penjelasan.
"Kita akan pertimbangkan tindakan yang boleh diambil berdasarkan undang-undang kerana saya sangat kecewa, rasa syarikat ini tidak bertanggungjawab. Sekarang (kira sedang) melakukan audit, melihat mana PoP yang dikatakan sudah siap tetapi tidak siap untuk tindakan susulan," katanya.
-- BERNAMA