KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Yayasan Eco World hari ini menyerahkan dua mesin hemodialisis baharu bernilai RM86,000 kepada Pusat Hemodialisis Yayasan Ampang Kau Ong Yah bagi menambah baik penjagaan pesakit buah pinggang daripada golongan kurang berkemampuan.
Pengerusinya Tan Sri Lee Lam Thye berkata inisiatif itu mencerminkan tanggungjawab korporat yayasan itu bukan sahaja tertumpu kepada pendidikan dan sokongan komuniti, tetapi turut merangkumi aspek kesihatan serta kesejahteraan.
“Penjagaan kesihatan merupakan keperluan asas yang wajar dinikmati semua. Melalui sumbangan ini, Yayasan Eco World berhasrat membantu mengurangkan beban pusat berkenaan serta mempertingkatkan mutu rawatan bagi pesakit yang memerlukan dialisis,” katanya ketika melawat pusat dialisis itu.
Lee berkata inisiatif itu sebahagian daripada program Eco World Cares yang menumpukan kepada usaha memperkasakan komuniti melalui pendidikan, kebajikan dan kesihatan.
Sebelum ini, yayasan berkenaan turut menyumbang sebuah mesin hemodialisis bernilai RM52,000 yang diserahkan kepada Yayasan St John Ambulans Malaysia-Kawasan Pantai Selangor (SJAM-KPS) bagi menggantikan mesin lama di Pusat Hemodialisis SJAM-KPS Rawang.
Sementara itu, Bendahari Yayasan Ampang Kau Ong Yah, Tony Yap Yoong Kim menyifatkan kerjasama berkenaan sebagai contoh terbaik bagaimana yayasan korporat dan pertubuhan komuniti dapat membantu menyediakan keperluan yang sangat diperlukan dalam penjagaan kesihatan.
“Setiap keprihatinan mampu memberikan sinar harapan dan membantu penyembuhan. Setiap mesin tambahan membolehkan lebih banyak pesakit menerima rawatan yang sewajarnya serta dapat membantu mereka menjalani kehidupan dengan lebih bermakna” katanya.
Pusat Hemodialisis Ampang Kau Ong Yah yang ditubuhkan pada 2003 dan antara pusat dialisis bukan berasaskan keuntungan yang terawal di Selangor, kini menyediakan rawatan dialisis bersubsidi kepada 73 pesakit dan beroperasi dua syif enam hari seminggu.
-- BERNAMA