KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Mesra Mall di Kemaman, Terengganu melabuhkan tirai Kempen Kesedaran Kesihatan Mental 2025 yang berlangsung lima hari bermula 8 Okt, sekali gus meneruskan legasi tanggungjawab sosial korporat (CSR) dirintis Suria KLCC membawa advokasi kesihatan mental dalam arena peruncitan Malaysia.
Kempen yang bertemakan Access to Services: Mental Health in Catastrophes and Emergencies dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Kesihatan itu berjaya menyatukan sukan, kesihatan dan pendidikan kepada komuniti Pantai Timur.
Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd Francis Tan berkata perjalanan kumpulan itu dalam advokasi kesihatan mental bermula pada 2021 menerusi kempen bersejarah We Are With You yang bertujuan menjadikan pusat beli-belah mereka sebagai ruang selamat untuk perbualan penting.
“Melihat inisiatif ini berkembang dan membuahkan hasil dari tahun ke tahun, dan kini membawa impak maksima di Kemaman adalah sesuatu yang amat membanggakan.
“Kejayaan kempen di Mesra Mall bukti komitmen teguh kami di seluruh kumpulan dan kuasa kerjasama tempatan membina sebuah komuniti yang berdaya tahan dan saling menyokong,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Hospital Kemaman Dr Amran Japar berkata kempen itu berjaya merapatkan jurang antara perkhidmatan kesihatan dan orang ramai dengan pihaknya menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma dan sesi konsultasi kepada komuniti.
“Penyertaan yang amat menggalakkan dalam bengkel kesedaran minda dan pameran kesihatan kami menunjukkan keinginan yang tulen untuk mendapatkan ilmu dan sokongan. Kami berbangga dapat bekerjasama dengan Mesra Mall untuk memenuhi keperluan ini,” katanya dalam kenyataan sama.
Program lima hari itu dipenuhi pelbagai aktiviti direka untuk setiap segmen masyarakat termasuk Mesra Run sempena Hari Sukan Negara pada 11 Okt yang menghimpunkan hampir 1,000 peserta dalam larian sejauh lima kilometer.
Sementara itu, pertandingan antara sekolah MesraActive dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kemaman dari 8 hingga 10 Okt menyaksikan pelajar sekolah di Kemasik dan Kerteh bersaing dalam sukan futsal, badminton serta boling yang berjaya memupuk semangat kerja berpasukan dan daya tahan.
Lobi sukan di pusat beli-belah itu bertukar menjadi hab kesihatan dengan kerjasama Hospital Kemaman dari 8 hingga 12 Okt bagi menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma, konsultasi kesihatan mental dan bengkel pengurusan stres dan kesedaran minda.
Kempen itu mendapat sokongan padu pelbagai penaja termasuk TMC, Pasar Suri, F&N, Farm Fresh, Hush Puppies, Carlo Rino dan banyak lagi yang mencerminkan semangat kerjasama menyeluruh daripada seluruh komuniti.
-- BERNAMA