KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Festival Taman Kuala Lumpur (KLPF) 2025 di Taman Tasik Titiwangsa, di sini.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada 10 pagi disambut isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Turut hadir isteri Ketua Setiausaha Negara Puan Sri Maheran Jamil, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Datuk Seri Noridah Abdul Rahim serta Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.
Berlangsung hingga 26 Okt, festival edisi kedua yang mula dianjurkan pada 2023 oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu diadakan secara percuma sebagai usaha mendekatkan warga kota dengan alam hijau, selain memupuk gaya hidup sihat dan kesedaran terhadap kepentingan taman sebagai nadi kawasan bandar.
Dr Zaliha dalam sembah ucapan pada majlis itu berkata festival kali ini bukan sekadar meraikan keindahan flora, sebaliknya menjadi pemangkin pembangunan ekonomi hijau bandar melalui peningkatan aktiviti pelancongan, perhotelan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Beliau berkata penganjuran yang dijangka menarik 250,000 pengunjung itu turut memperkukuh ekosistem industri hortikultur tempatan menerusi kerjasama antara pengusaha nurseri, pereka landskap, pelajar dan penyelidik tempatan.
"Ia membuka ruang kepada pengusaha nurseri, penjual bunga, pereka landskap, pelajar dan penyelidik untuk memperkenalkan reka bentuk landskap yang berinovatif, teknologi hijau dan penyelesaian lestari hasil ciptaan tempatan," katanya.
Dr Zaliha berkata festival dwitahunan itu dijangka memberi limpahan ekonomi kepada warga kota melalui peningkatan penggunaan pengangkutan awam, tempahan hotel dan aktiviti perniagaan.
KLPF 2025 turut memainkan peranan penting sebagai prelude kepada Tahun Melawat Malaysia 2026, selain menyokong visi Bandar CHASE yang menekankan konsep bandar bersih, sihat, maju, selamat dan mesra alam.
Beliau berkata taman bandar bukan hanya berfungsi sebagai ruang rekreasi, tetapi juga sistem penyejukan semula jadi bandar, tadahan air dan hab biodiversiti yang menyokong pemuliharaan flora endemik negara.
"Festival ini juga mengetengahkan inisiatif pemuliharaan warisan flora negara termasuk spesies endemik dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak, menjadikan taman bandar ini sebagai bank genetik dan arkib biodiversiti negara," katanya.
Antara tarikan utama festival itu ialah Mistikal Titiwangsa yang memukau deria, KL Genta: Festival Gendang dan Tarian yang meraikan rentak budaya ASEAN, serta Fiesta Makanan Halal ASEAN yang mempertemukan cita rasa serantau di tengah ibu kota.
-- BERNAMA