GEORGE TOWN, 17 Okt (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyasarkan untuk melatih dan menempatkan 1,000 belia India dalam sektor pekerjaan profesional berpendapatan tinggi menerusi Malaysia Indian Skills Initiative (MiSI) 2.0 pada tahun ini.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata program itu menawarkan latihan kemahiran dan diselaraskan terus kepada peluang pekerjaan dengan fokusnya adalah untuk membawa perubahan ketara kepada golongan belia daripada keluarga B40.
"Sasaran saya untuk melatih dan menempatkan (mereka dalam) pekerjaan profesional, gaji yang bermaruah, gaji yang tinggi untuk sekurang-kurangnya 1,000 anak daripada komuniti India dan saya nak mereka menjadi jurutera, juruteknik, pegawai eksekutif dan profesional lain yang diiktiraf industri, dalam masa sama meningkatkan pendapatan.
"Walaupun hanya melibatkan 1,000 orang, tetapi saya mahu pastikan mereka ini dapat melahirkan lebih ramai lagi dalam kalangan India di negara ini yang berjaya kerana saya mahu mengubah seluruh ganerasi mereka menerusi program tersebut," katanya semasa berucap pada Majlis Deepavali KESUMA Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Lindung 2025, di sini malam ini.
Majlis dirasmikan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga PERKESO Datuk Seri Subahan Kamal.
Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata program MiSI 2.0 itu bukan hanya menyediakan kemahiran asas atau latihan berskala kecil, tetapi juga menumpukan kepada latihan berkualiti tinggi yang dapat mengubah masa depan peserta dan keluarga mereka secara drastik.
Beliau berkata Program MiSI 2.0 diteruskan selepas kejayaan MiSI 1.0 sebelum ini dan dilaksanakan dengan pemantauan ketat oleh KESUMA bagi memastikan setiap yang dibelanjakan memberikan impak langsung kepada masyarakat India, khususnya golongan belia.
"Sudah cukup kita beri bantuan kecil dan kali ini, kita tidak beri sekadar ikan atau pancing, tetapi kita beri bot laju dan jala besar untuk anak-anak India di negara ini," katanya.
Beliau turut memberikan contoh tiga anak muda India yang telah berjaya selepas mengikut program MiSI 2.0 tahun ini dan mampu mendapat pekerjaan yang baik dengan gaji permulaan RM3,500.
"Saya beri contoh M. Pravin Raj yang berusia 23 tahun dari Johor, ayahnya mengalami kecederaan di tempat kerja dan tidak mampu bekerja untuk menyara keluarga serta hidup sudah, namun selepas tamat universiti, Pravin berharap mendapat kerja yang lebih baik.
"Namun tak berjaya dan akhirnya dia menyertai program MiSI 2.0 kursus Software Developer Programme dan melalui KESUMA, Pravin mendapat kerja sebagai jurutera perisian di Dell dengan gaji RM5,000 sebulan," katanya.
MiSI 2.0 ialah sebuah inisiatif berasaskan pencapaian hasil dan peserta akan mengikuti latihan khusus yang dirangka berdasarkan keperluan sebenar industri, dengan jaminan penempatan kerja selepas tamat program.
Tempoh latihan adalah antara satu hingga enam bulan, bergantung pada sektor yang diceburi dan peserta akan menerima sijil yang diiktiraf industri setelah tamat latihan dengan antara sektor tumpuan termasuklah Elektrik dan Elektronik (E&E), Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Aeroangkasa, Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS), Pemprosesan Makanan, Pelancongan dan Peruncitan.
-- BERNAMA