AM

BANJIR: 158 MANGSA DIPINDAHKAN KE DUA PPS DI KULIM

18/10/2025 09:35 AM

KULIM, 18 Okt (Bernama) -- Sebanyak 158 mangsa membabitkan 45 keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) dekat sini, selepas beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat, petang semalam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kulim Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad berkata antara kawasan yang terjejas ialah Kampung Sungai Limau, Kampung Batu 5, Kampung Batu 6 dan Kampung Paya Tok Betok.

"PPS Surau As-Shahiddin, Taman Sang Kancil yang dibuka pada 8.30 malam tadi, menempatkan 143 mangsa daripada 41 keluarga.

"PPS Surau Paya Tok Betok yang dibuka pada 11 malam tadi pula menempatkan 15 mangsa daripada empat keluarga," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata keadaan cuaca tiada hujan, menyaksikan paras air di kebanyakan kawasan terjejas mulai menurun pagi ini.

Bernama sebelum ini melaporkan hujan lebat berterusan bermula 5 petang semalam, menyebabkan kejadian banjir kilat di beberapa kawasan di Kulim.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan