Oleh Shaidathul Suhana Ros
KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- “Melentur buluh biarlah daripada rebungnya,” peribahasa lama yang menjadi peringatan bahawa pembentukan sahsiah dan keperibadian seseorang perlu bermula sejak kecil di bawah asuhan dan didikan ibu bapa di rumah.
Walaupun pelajar menghabiskan sekurang-sekurangnya enam jam sehari di sekolah, hakikatnya peranan ibu bapa menjadi tunjang dalam mencorak karakter anak-anak, bukan sekadar memastikan kejayaan akademik tetapi juga memantau pergaulan, penggunaan media sosial serta perkembangan emosi mereka.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Fouzi Singon menegaskan adalah tidak wajar semua isu disiplin dan moral pelajar diletakkan pada bahu guru dan pihak sekolah semata-mata.
"Pendidikan bukan bermula di sekolah tetapi telah lama bermula di rumah. Sekolah hanya mengukuhkan pendidikan sedia ada murid yang telah terbentuk oleh ibu bapa dan keluarga," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata guru sudah melaksanakan tanggungjawab mengikut kurikulum dan garis panduan yang ditetapkan, namun ruang mereka membentuk keperibadian pelajar agak terhad berbanding keluarga yang bebas mengasuh anak sejak kecil.
"Ibu bapa harus kembali berinteraksi dan kerap berkomunikasi dengan anak supaya hubungan mesra sentiasa terjalin. Janganlah masing-masing buat hal sendiri hingga hilang kemesraan dalam keluarga," katanya.
Beliau berharap masyarakat tidak lagi menambah beban guru dengan pelbagai teori atau cadangan baharu setiap kali berlaku insiden melibatkan pelajar, sambil menegaskan bahawa kejadian yang berlaku kebelakangan ini tidak seharusnya menambahkan tekanan kepada warga pendidik.
Fouzi juga mencadangkan satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menilai semula sistem pendidikan negara supaya lebih sesuai dengan keperluan semasa dan masa depan, selain menekankan bahawa sistem yang pincang perlu diubah dengan tegas dan berani agar iklim pendidikan kekal kondusif.
Pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian turut senada bahawa asas pembentukan sahsiah mesti bermula di rumah dengan ibu bapa sebagai pendidik pertama.
"Ibu bapa ialah pendidik pertama yang menanam nilai, adab dan disiplin manakala sekolah berperanan memperkukuh melalui bimbingan akademik dan sosial," katanya sambil menambah keseimbangan hanya dapat dicapai apabila rumah dan sekolah bergerak seiring dalam membentuk sahsiah, rohani, jasmani, akhlak dan intelektual pelajar.
Sivamurugan berkata realiti hari ini menunjukkan semakin ramai ibu bapa menyerahkan tanggungjawab mendidik sepenuhnya kepada sekolah, sedangkan seliaan berterusan ibu bapa penting untuk membentuk keseimbangan antara ilmu, nilai dan perwatakan yang dihormati.
Beliau mencadangkan agar konsep 'segi tiga pendidikan' antara rumah, sekolah dan komuniti diperkukuh semula dengan komunikasi lebih terbuka serta tanggungjawab moral yang dikongsi bersama.
"Nyawa, emosi dan jiwa perlu diberikan dalam hubungan antara semua anggota masyarakat supaya teknologi dan media sosial tidak mengawal kita, sebaliknya kita yang mengawalnya. Ini termasuk dalam hubungan pelajar, guru, ibu bapa dan masyarakat," katanya.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) Prof Madya Dr Sharifah Syahirah Syed Sheikh dalam temu bual di Bernama TV berkata penggunaan dunia digital memberi manfaat besar jika berhemah, namun tanpa kawalan ia boleh memudaratkan bukan sahaja anak-anak yang belum matang malah orang dewasa.
Beliau menasihatkan ibu bapa menetapkan had penggunaan peranti dan menapis kandungan tidak sesuai, sambil memastikan komunikasi terbuka agar anak berasa selamat untuk berkongsi masalah seperti buli siber atau pendedahan kepada bahan berunsur negatif.
Isu disiplin dan salah laku pelajar menjadi perhatian kebelakangan ini susulan beberapa insiden di sekolah, termasuk kes tikam di Petaling Jaya, Selangor dan salah laku seksual di Melaka dan Kedah yang mencetuskan perdebatan tentang sahsiah pelajar masa kini.
-- BERNAMA