KOTA KINABALU, 18 Okt (Bernama) -- Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang pada mulanya dijadualkan pada 29 Nov ini ditunda sehari ke 30 Nov bagi memberikan laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata tarikh 29 Nov ditetapkan tanpa mengetahui bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan tarikh berkenaan sebagai hari pengundian.
“Jadi dari segi undang-undang pun, kita tidak boleh mengadakan program yang menidakkan katalah orang Sandakan datang, orang Tawau datang. Jadi kita berasa bertanggungjawab untuk menunda hari konvokesyen itu kepada 30 hari bulan,” katanya kepada pemberita pada Program Pemerkasaan Wanita MARA dan Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Noraini Ahmad dan Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau berkata keputusan itu dibuat sebagai langkah kompromi bagi memberi pelajar dan keluarga mereka peluang menunaikan tanggungjawab mengundi tanpa menjejaskan perjalanan konvokesyen.
“Kita faham, satunya untuk memberikan peluang untuk mereka mengundi dan baru datang ke UMS dan pada masa yang sama juga kita faham ada ramai keluarga yang datang daripada jauh, yang telah membeli tiket dan sebagainya. Jadi kita tunda satu hari sebagai kompromilah,” katanya.
SPR menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Sabah pada 15 Nov, manakala undi awal berlangsung 25 Nov dan tarikh mengundi pada 29 Nov.
-- BERNAMA