AM

KOS TUNAIKAN HAJI 2026 AKAN DIUMUMKAN 22 OKT INI

18/10/2025 07:14 PM

ALOR GAJAH, 18 Okt (Bernama) -- Kadar kos rasmi menunaikan ibadah haji musim 2026 akan diumumkan Lembaga Tabung Haji (TH)  pada 22 Okt ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar. 

Beliau berkata sementara surat tawaran pula akan diedarkan kepada bakal jemaah haji selepas pengumuman tersebut oleh Pengerusi TH Tan Sri Abdul Rashid Hussain. 

"Kadar kos ini sama ada meningkat atau kekal penting bagi membolehkan proses pengeluaran surat tawaran kepada bakal haji dilakukan dan kita akan pastikan ia tidak membebankan mereka yang terpilih itu nanti.

“Ini kerana kita mahu peratusan mereka yang menolak tawaran haji itu akan dapat dikurangkan kerana mereka yang ditawarkan giliran tetapi menolak pada 2025 agak ramai,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Perasmian Program Kampung Angkat Menteri Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) di Dewan Terbuka Kampung Pulau, Masjid Tanah di sini hari ini.

Mohd Na'im berkata TH turut mengambil langkah proaktif memastikan jemaah haji yang mendapat giliran pada tahun ini tidak menolak tawaran tersebut termasuk mengenal pasti keberadaan bakal jemaah tersebut dan mengemaskini data dengan lebih awal. 

Tambah beliau semua langkah itu bagi memastikan bakal jemaah bersedia sebaiknya dari aspek kewangan, fizikal dan mental sebelum menunaikan haji.

“Ia juga dapat memastikan tidak berlaku ‘kerugian’ pada kouta yang telah ditetapkan dengan setakat ini seramai 31,600 orang,” katanya. 

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan