AM

65 KELUARGA DI CAMERON HIGHLANDS TERIMA "BEG HARAPAN" SEMPENA DEEPAVALI

18/10/2025 09:09 PM

KUANTAN, 18 Okt (Bernama) -- Sebanyak 65 keluarga India di Cameron Highlands menerima “beg harapan” iaitu bantuan barangan keperluan asas sempena perayaan Deepavali.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata Ho Chi Yang berkata bantuan tersebut diedarkan kepada keluarga yang menetap di daerah itu antaranya di Brinchang, Tanah Rata dan Ringlet baru-baru ini. 

Setiap beg mengandungi barangan keperluan asas dan makanan harian untuk membantu meringankan beban kewangan dan membolehkan mereka menyambut perayaan dengan penuh kegembiraan bersama-sama keluarga.

“Semangat saling membantu dalam masyarakat merupakan inti pati sebenar perayaan ini. Saya percaya setiap kaum dan komuniti berhak untuk dilihat, dihormati dan disokong.

“Melalui sumbangan kecil ini, saya berharap semua dapat menyambut Deepavali dalam suasana bercahaya dan bahagia,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Selain bantuan itu, Ho turut menyalurkan peruntukan pendidikan berjumlah RM13,000 kepada lapan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Cameron Highlands.

Sekolah terlibat ialah  SJKT Ringlet, SJKT Tanah Rata, SJKT Blue Valley, SJKT Kuala Terla, SJKT Ladang Boh 1, SJKT Ladang Boh 2, SJKT Shum Yip Leong dan SJKT Sungai Palas.

Beliau berkata peruntukan itu bertujuan membantu pihak sekolah meningkatkan kemudahan prasarana dan menganjurkan aktiviti pelajar.

“Kita perlu memastikan semua kanak-kanak tanpa mengira latar belakang mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dalam persekitaran yang adil dan selamat.

“Semangat Kerajaan Perpaduan adalah memastikan semua kaum dilayan dengan adil dan dihormati. Hanya melalui kepercayaan dan kerjasama, kita dapat membina Malaysia yang lebih bersatu dan bercahaya untuk semua,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan