TANJONG MALIM, 19 Okt (Bernama) -- Penyertaan pelajar dalam Program Jamboree On The Air dan Jamboree On The Internet (JOTA-JOTI) memberi kelebihan kepada mereka untuk memahami lebih mendalam aplikasi teknologi sebenar serta pentingnya etika dan disiplin dalam komunikasi digital.
Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Kelanasiswa Malaysia Dr Azizee Aziz berkata dengan adanya pendedahan sedemikian, pelajar bukan sahaja meningkatkan kebolehan teknikal tetapi juga memupuk semangat kerjasama dan daya kreativiti diperlukan untuk menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang kompetitif.
"Kita semua perlu berwaspada dan berhemah dalam menggunakan media komunikasi, dengan mengamalkan moto Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) iaitu semak sebelum sebar.
"Ini (penggunaan media komunikasi) bukan sahaja tanggungjawab individu, tetapi juga tanggungjawab institusi termasuk pengajian tinggi dalam mendidik generasi muda menjadi pengguna teknologi yang bijak dan bertanggungjawab," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian JOTA-JOTI Peringkat Kebangsaan 2025 yang disempurnakan Timbalan Yang DiPertua Majlis Pengakap Negara Datuk Ahmad Shazily Ismail Bakti di Politeknik Sultan Azlan Shah di sini.
Azizee berkata latihan diterapkan melalui JOTA-JOTI memberi peluang kepada pelajar dan ahli pengakap memiliki kemampuan dan kecekapan membantu masyarakat ketika situasi darurat, meningkatkan daya kesiapsiagaan negara serta semangat kesukarelawanan yang tinggi.
"Program JOTA-JOTI bukan sekadar satu program komunikasi, ia merupakan satu pendekatan pendidikan yang memupuk pelbagai nilai murni dan menggalakkan perpaduan melalui jaringan komunikasi melangkaui sempadan negara serta budaya.
"Ini adalah elemen penting dalam dunia globalisasi dengan negara-negara hari ini saling bergantung antara satu sama lain terutama dalam bidang teknologi dan maklumat," katanya.
-- BERNAMA