AM

CUEPACS MOHON PERTEMUAN KHAS DENGAN JPA, BINCANG STATUS SKIM PEMBANTU TADBIR N1

19/10/2025 10:10 PM

 

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) segera mengadakan pertemuan rasmi bagi memaklumkan status terkini cadangan penambahbaikan Skim Perkhidmatan Pembantu Tadbir (Operasi dan Kewangan) Gred N1.

Presidennya Datuk Dr Adnan Mat berkata kira-kira 350,000 penjawat awam di bawah skim berkenaan sedang menantikan perkembangan cadangan itu sejak dikemukakan pada Disember tahun lepas.

“Kami memohon supaya JPA buka ruang perbincangan segera untuk menjelaskan status cadangan yang sudah dikemukakan CUEPCAS,” katanya pada sidang media khas selepas menghadiri Perjumpaan Gabungan Kesatuan-Kesatuan Pembantu Tadbir (GAPETA) Malaysia di sini hari ini.

Adnan berkata CUEPACS telah mengemukakan tiga opsyen penambahbaikan skim dengan opsyen utama mencadangkan penyelarasan semua jawatan Pembantu Tadbir di bawah gred N5 bagi memastikan gred perjawatan selaras dengan beban tugas semasa.

Katanya cadangan itu juga bertujuan memberi pengiktirafan lebih adil kepada penjawat awam yang memiliki kelayakan akademik lebih tinggi, termasuk diploma dan ijazah, tetapi masih terikat pada Gred N1 dengan gaji setaraf Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dua lagi opsyen yang dikemukakan ialah kenaikan secara sekali (one-off) ke gred N5 bagi penjawat awam yang mempunyai kelayakan akademik lebih tinggi, serta laluan kenaikan gred automatik ke N5 selepas berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun dalam gred N1.

Adnan menegaskan ketiga-tiga pilihan itu tidak membebankan kewangan kerajaan kerana struktur gaji asas kekal sama kecuali sedikit pelarasan kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT).

Katanya CUEPACS sentiasa bersedia untuk berbincang dan memberikan pandangan lanjut bagi memastikan pelaksanaan skim berkenaan dapat memenuhi keperluan serta aspirasi penjawat awam yang terlibat.

“Jika ada cadangan penambahbaikan, panggillah kami untuk berbincang dan memberi pandangan. CUEPACS sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan kerajaan demi kebaikan bersama,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas pelbagai inisiatif kebajikan penjawat awam termasuk kenaikan gaji, Bantuan Khas Kewangan (BKK) dan bantuan tambahan yang diumumkan tahun ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan