KOTA BHARU, 19 Okt (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan giat memperkukuh persediaan terutama dari segi latihan dan logistik bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula bulan depan.
Pemangku Pengarah APM Kelantan Lt Kol (PA) Mohd Farid Ishak berkata pelbagai inisiatif telah dirangka termasuk latihan di lapangan khasnya di kawasan berisiko banjir bagi memastikan anggota berada pada tahap kesiapsiagaan optimum.
Beliau berkata sebagai agensi barisan hadapan dalam operasi bencana khususnya banjir, semua anggota perlu mahir dalam aspek menyelamat di air, penggunaan bot, peralatan logistik serta komunikasi kecemasan.
"Latihan air yang dijalankan turut merangkumi simulasi menyelamat mangsa lemas, pengendalian bot ketika arus deras serta koordinasi bersama agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
"Pendekatan latihan berperingkat ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan kecekapan anggota malah memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa APM sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan," katanya ketika dihubungi hari ini.
-- BERNAMA