AM

DI SEBALIK ANGKA: STATISTIK YANG MENGUBAH KEHIDUPAN

20/10/2025 02:51 PM

Oleh Sakina Mohamed

(Artikel ini disiarkan bersempena Hari Statistik Sedunia yang disambut pada 20 Oktober.)

 

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Malaysia mencipta sejarah pada April lalu apabila melonjak dari anak tangga ke-67 ke tempat pertama di dunia dalam penarafan Open Data Inventory 2024/25. Namun, signifikan berita itu hampir tidak dibincangkan selain dalam kalangan kelompok perancang dasar. 

Penting untuk memahami makna sebenar di sebalik pencapaian ini. Dengan skor hampir sempurna (99) dalam aspek keterbukaan data, Malaysia telah membuktikan data yang disediakan berkualiti, berimpak tinggi dan mudah diakses serta dimanfaatkan semua pihak.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) selama ini beroperasi di belakang tabir sebagai tulang belakang dasar awam. Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jabatan itu semakin menonjol dengan usaha memperkukuh bukan sahaja kredibiliti, tetapi juga ketercapaian kepada rakyat.

Tahun ini, sempena sambutan Hari Statistik Sedunia, Malaysia berpeluang berhenti sejenak untuk menilai makna sebenar pencapaian tersebut.

 

Mampu Anggar Jangka Hayat, Keterjaminan Makanan

 

Selain menyediakan statistik kebangsaan, DOSM juga telah membangunkan pelbagai aplikasi, digital tools dan dashboard interaktif dalam usaha mendekatkan data kepada rakyat.

Salah satu daripadanya ialah Kalkulator Jangka Hayat yang boleh diakses melalui laman sesawang atau dimuat turun di PlayStore (Android) dan App Store (Apple). Alat yang mudah dan interaktif ini membolehkan rakyat Malaysia menganggarkan jangka hayat mereka berdasarkan umur, jantina dan gaya hidup.

“Kita dapat lihat melalui kalkulator ini bahawa jangka hayat  bagi penduduk di suatu kawasan berbeza dengan kawasan yang lain. 

“Walaupun kita sedar bahawa tarikh kelahiran dan kematian kita sudah ditentukan oleh Pencipta, statistik mampu memberikan gambaran umum tentang corak jangka hayat berdasarkan profil individu masing-masing,” kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin kepada Bernama.

Selain menerbitkan statistik subnasional bagi setiap Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN), DOSM turut memperkukuh pemerkasaan awam melalui pembangunan dashboard data di laman OpenDOSM.

Dashboard ini membolehkan penerokaan data hingga ke peringkat daerah, parlimen dan DUN. Dengan menghuraikan prestasi ekonomi setempat, trend penduduk serta pendapatan isi rumah, ia membolehkan perancang dasar mengenal pasti jurang dan merancang bantuan sosial dengan lebih tepat.

 

Data Perkukuh Sekuriti Makanan

 

Antara inovasi yang paling menonjol ialah portal Sistem Statistik Pertanian Bersepadu (TaniStats), yang disifatkan sebagai pemacu perubahan besar dalam landskap pendataan sektor pertanian negara.

Dibangunkan dengan konsep bahawa ketahanan makanan bermula daripada maklumat yang lengkap, TaniStats mengintegrasikan data pertanian, perdagangan dan iklim dalam satu platform bersepadu. Ia dapat membantu mengenal pasti jurang dalam rantaian bekalan, meramal hasil tuaian, serta memberi amaran kepada perancang dasar apabila komoditi makanan tertentu berisiko mengalami kekurangan bekalan.

Mohd Uzir berkata antara fungsinya ialah untuk menilai keupayaan setiap daerah dan menentukan tanaman yang perlu diberi keutamaan bagi meningkatkan hasil.

“Apabila kerajaan melaksanakan sesuatu program bantuan kepada petani, impak dan hasilnya akan dapat diukur.

“Sekiranya data menunjukkan sesuatu daerah mencapai hasil lebih baik daripada bantuan tersebut, ia boleh dijadikan rujukan bagi daerah lain yang mungkin belum mencapai keberhasilan serupa,” jelasnya.

Matlamat utamanya ialah membangunkan sistem statistik yang bukan sekadar melapor keadaan semasa, tetapi turut mampu meramal dan mencegah krisis makanan sebelum ia berlaku.

DOSM juga sedang menyediakan Indeks Pengeluaran Pertanian Negara bagi memperkukuh lagi usaha keterjaminan makanan.

 

Melangkaui Angka

 

Hari Statistik Sedunia bukan sekadar satu sambutan, tetapi juga penanda aras. Malaysia telah membuktikan bahawa keterbukaan data dan ketelusan boleh berjalan seiring dengan pembangunan, dan bahawa literasi statistik bukan hanya untuk ahli ekonomi, tetapi untuk setiap warganegara.

Namun perubahan budaya itu masih belum sepenuhnya berlaku. Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, “data” masih dilihat sebagai sesuatu yang jauh, teknikal dan bersifat birokratik. Ramai yang belum dapat membayangkan aplikasi data dalam kehidupan seharian.

Kesedaran itu penting kerana ia membawa bersamanya satu bentuk pemerkasaan. Apabila ia wujud, rakyat akan tahu bahawa mereka juga boleh mengakses dan menggunapakai set data yang sama digunakan perancang dasar, sementara wartawan pula akan membudayakan rujukan data untuk menentusahkan kenyataan rasmi. Petani, pendidik dan usahawan pula akan semakin mahir membuat penilaian praktikal daripada statistik.

Hari Statistik Sedunia mengingatkan kita bahawa alat dasar paling berkesan tidak semestinya undang-undang baharu atau subsidi tambahan. Kadangkala, ia dalam bentuk satu dashboard yang direka dengan teliti, yang menyampaikan fakta secara jelas dan terbuka.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan