AM

PAKEJ 1 PROJEK PENYURAIAN TRAFIK JURU-SUNGAI DUA BERMULA HARI INI

21/10/2025 11:22 AM

BUKIT MERTAJAM, 21 Okt (Bernama) -- PLUS Malaysia Bhd (PLUS) mengumumkan Pakej 1 bagi Projek Penyuraian Trafik antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua (PTJSD) di sini bermula hari ini.

PLUS dalam kenyataan hari ini memaklumkan Naza Engineering and Construction Sdn Bhd telah dilantik sebagai kontraktor utama untuk pakej itu selepas melalui proses tender terbuka.

“Pakej 1 yang meliputi kerja-kerja menaik taraf bulatan di Persimpangan Bertingkat Timur-Barat (Lebuhraya Butterworth-Kulim) iaitu Kilometer (KM) 135.15 hingga KM135.4, dan pembinaan jejambat baharu di Jalan Tun Hussein Onn (KM133.5 hingga KM134.5) akan dilaksanakan selama 24 bulan.

“Pakej 1 ini adalah sebahagian daripada pakej-pakej Projek PTJSD dan ia bertujuan untuk menyuraikan trafik di kawasan itu, serta akan dapat membantu pengguna-pengguna lebuh raya dan penduduk setempat menikmati perjalanan yang lebih lancar pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu.

PLUS memaklumkan secara keseluruhannya Projek PTJSD itu adalah projek berimpak tinggi dan akan memberi manfaat kepada kira-kira 200,000 pengguna harian melalui pengurangan kesesakan di laluan berkenaan.

PLUS turut memaklumkan pada peringkat permulaan, kerja-kerja awalan tidak akan mengganggu aliran trafik kerana dua lorong sedia ada di kedua-dua hala lebuh raya itu masih kekal dibuka kepada pengguna dan pengumuman akan dibuat dari semasa ke semasa di platform media sosial.

Projek itu antara beberapa inisiatif utama untuk Pulau Pinang yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Belanjawan 2025 pada 18 Okt tahun lepas, selain Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan Taman Perindustrian Batu Kawan 3.

Media sebelum ini melaporkan pelaksanaan projek Penyuraian Trafik Juru-Sungai Dua itu melibatkan lebuh raya sepanjang 17.4km dan jajaran bertingkat sejauh 9km.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari dilaporkan berkata projek berkenaan akan meliputi lapan fasa pembangunan merangkumi persimpangan tanpa lampu isyarat dan dua pusingan U bertingkat bagi melancarkan aliran trafik.

Zairil dilaporkan berkata selain pembinaan lebuh raya, beberapa persimpangan kritikal akan dinaik taraf antaranya Persimpangan Bertingkat Juru Utara (Autocity), Persimpangan Jambatan Pulau Pinang dan Susur Jalan Baru serta tambahan jejambat dari Jalan Tun Hussein Onn ke Lebuhraya Utara-Selatan.

Konsep lebuh raya itu akan memisahkan trafik tempatan dengan trafik aliran terus seperti dilaksanakan di Ipoh, Perak iaitu pengguna dalam perjalanan ke Utara tidak perlu keluar di Plaza Tol Juru, manakala perjalanan ke Selatan tidak perlu keluar di Tol Sungai Dua.

Projek itu juga melibatkan pelaksanaan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) bagi mengurangkan impak kepada pengguna jalan raya sepanjang tempoh pembinaan PTJSD.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan