KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Warga Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) diingatkan supaya tidak terlibat dalam sebarang bentuk penyelewengan wang zakat yang diamanahkan, kerana perbuatan itu bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan hidup di dunia, malah membawa padah di akhirat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata peringatan itu telah berulang kali disampaikan kepada pengerusi serta ketua pegawai eksekutif agensi berkenaan untuk difahamkan kepada semua warga MAIWP agar sentiasa amanah dalam melaksanakan tanggungjawab.
“Sesen pun wang zakat yang tidak dilaksanakan dengan amanah, tidak disampaikan kepada yang berhak atau diselewengkan, akan membawa kesan buruk kepada kehidupan kita di dunia dan akhirat.
“Kita tidak akan menjadi kaya dengan mengambil wang zakat secara tidak jujur. Saya harap peringatan ini dapat dihayati dan dilaksanakan sebaik-baiknya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Inspirasi Pendidikan MADANI MAIWP di Dewan Utama Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Semalam, Mohd Na’im dalam kenyataannya menegaskan pihaknya tidak akan melindungi mana-mana individu yang terlibat dalam dakwaan penyelewengan dana zakat, sebaliknya akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang dan peraturan sedia ada.
Pada 19 Okt lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur dilapor menahan seorang bekas pekerja sebuah badan berkanun kerana disyaki terbabit dalam sindiket penyelewengan wang zakat berjumlah RM120,000 melibatkan 28 pemohon tidak layak.
Wanita berusia lingkungan 30-an itu, ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur, sebelum Mahkamah Majistret membenarkan perintah reman selama empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Sementara itu, Mohd Na'im berkata MAIWP memperuntukkan insentif berjumlah RM1.64 juta kepada 602 pelajar cemerlang akademik, terdiri daripada penerima bantuan am persekolahan dan pelajar institusi pendidikan MAIWP.
“Majlis ini merupakan acara tahunan yang memberi penghargaan kepada pelajar-pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2024,” katanya.
Selain itu, katanya MAIWP turut menyampaikan insentif galakan hafaz al-Quran kepada 620 peserta dengan jumlah keseluruhan RM1.93 juta.
Sehingga September lepas, katanya, MAIWP telah menyalurkan sebanyak RM58.6 juta dana zakat melalui pelbagai skim bantuan pendidikan termasuk bantuan am persekolahan, bantuan pelajar kolej profesional serta biasiswa pelajar cemerlang.
“Secara keseluruhan, MAIWP menyalurkan bantuan melalui 38 skim zakat merangkumi bidang kebajikan, pendidikan, keusahawanan, perubatan, perlindungan dan pembangunan ummah sebagai manifestasi komitmen MAIWP dalam memperkasa modal insan serta kesejahteraan ummah di Wilayah Persekutuan,” katanya.
-- BERNAMA