JERTIH, 21 Okt (Bernama) -- Sebanyak 12 bot nelayan asing telah dilupuskan di perairan Terengganu untuk dijadikan tukun tiruan sepanjang tahun ini, kata Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri Kepten Maritim Hamiludin Che Awang.
Beliau berkata bot-bot yang telah dilucut hak itu dilupuskan menerusi kaedah musnah pecah dan tenggelam dengan nilai keseluruhan perolehan dianggar berjumlah RM1.7 juta.
"Pelupusan secara lestari ini dilaksanakan bagi menyokong usaha pemuliharaan ekosistem marin serta memperkayakan biodiversiti hidupan laut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Hamiludin berkata semua bot itu hasil penguatkuasaan pada tahun lepas dengan tukun tiruan daripada kaedah berkenaan merupakan alternatif mesra alam dalam melupuskan bot yang tidak boleh lagi digunakan.
Beliau berkata proses pelupusan dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal bagi memastikan aspek keselamatan, undang-undang dan perlindungan alam sekitar dipatuhi sepenuhnya.
Sementara itu itu, Hamiludin berkata dua daripada 12 bot berkenaan ditenggelamkan di kawasan perairan Pulau Rhu, di sini hari ini melibatkan vesel Vietnam yang dirampas pada tahun lepas dengan anggaran perolehan sekitar RM420,000.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya terus komited melaksanakan rondaan dan penguatkuasaan secara berterusan walaupun berdepan cuaca buruk sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).
“Dalam situasi tertentu khususnya apabila melibatkan faktor keselamatan seperti laut bergelora atau risiko terhadap anggota operasi, tindakan pengusiran terhadap nelayan asing yang menceroboh mungkin dilaksanakan sebagai langkah taktikal segera.
“Tindakan pengusiran ini tetap disusuli dengan pemantauan rapi dan sekiranya pencerobohan berulang atau terdapat elemen jenayah maritim lain seperti penangkapan ikan secara haram maka tindakan tegas seperti penahanan dan pendakwaan akan dilaksanakan tanpa kompromi,” katanya.
-- BERNAMA