AM

2,854 PENGAMAL MEDIA DAFTAR UNTUK LIPUTAN SIDANG KEMUNCAK ASEAN KE-47 - FAHMI

22/10/2025 05:37 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Seramai 2,854 pengamal media daripada 290 agensi dalam dan luar negara telah mendaftar bagi liputan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan, yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini dari 26 hingga 28 Okt ini.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata daripada jumlah itu ia antaranya merangkumi 648 wakil media rasmi Malaysia, 327 media tempatan dan 1,277 media antarabangsa telah disahkan mendaftar setakat 12.30 tengah hari tadi.

“Setakat ini, 34 negara termasuk Malaysia telah menghantar wakil media, agensi dan wartawan masing-masing,” katanya selepas meninjau persiapan di Pusat Media Antarabangsa (IMC) dan Pusat Penyiaran Antarabangsa (IBC) sempena sidang kemuncak berkenaan hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia Datuk Suhaimi Sulaiman, Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj,  Pemangku Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Mohd Shukri Ishak dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Azlina Aziz.

Fahmi berkata antara negara yang menghantar bilangan wakil media tertinggi ialah Jepun iaitu seramai 314 pengamal media, Amerika Syarikat (181), Republik Korea (101) dan Filipina (68).

Mengenai persiapan dari aspek kemudahan liputan, Fahmi berkata 33 unit 5G-in-a-box disediakan di seluruh KLCC dengan enam unit ditempatkan khusus untuk kegunaan pengamal media di IMC bagi memastikan capaian Internet yang lebih pantas dan stabil.

“Dari segi WiFi disediakan Telekom Malaysia (TM) dengan lebar jalur maksimum 10Gb, manakala titik capaian WiFi 7 mampu menyokong antara 3,000 hingga 4,000 peranti pada satu masa.

“Persiapan Internet (bagi liputan sidang kemuncak ASEAN kali ini) diyakini jauh lebih baik dan diharapkan ia akan dapat dilaporkan dengan baik oleh rakan-rakan media,” katanya.

Sementara itu, Fahmi turut memaklumkan Bernama TV akan menyiarkan liputan langsung dalam pelbagai bahasa sepanjang sidang kemuncak itu berlangsung hingga 28 Okt, manakala RTM juga akan mengadakan siaran langsung Grandstand ASEAN, bermula Jumaat ini.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Okt, dengan penyertaan pemimpin tertinggi daripada 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand dan India.

Sidang kemuncak itu dijangka menjadi acara terbesar dalam sejarah penganjurannya sejak kali pertama diadakan pada 1976.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan