PUTRAJAYA, 22 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara hebat perlu bermula dengan pengukuhan tadbir urus (governans), integriti dan penolakan terhadap rasuah.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kerangka MADANI yang digagaskannya menitikberatkan aspek tatakelola dalam setiap urus tadbir kerajaan sebagai teras utama pembangunan negara.
“Saya merayu kepada saudara saudari, (jika) mahu selamatkan diri kita, keluarga kita (dan) menjamin masa depan anak-anak kita dan jamin hebatnya negara Malaysia tercinta ini, ia mesti bermula dengan governans, integriti dan penolakan rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Integriti Nasional dan Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA 2025) Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa.
Hadir sama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM) Datuk Ahmad Ramdzan Daud dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Sementara itu, Anwar mendedahkan bahawa terdapat pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan pendekatan tegas kerajaan dalam menerapkan integriti dan tatakelola yang baik.
“Polemik, wacana dan debat di Parlimen paling kurang soal-soal ini (integriti). Kalau ada pun soal rasuah dan itu hanya dituju untuk satu-satu kes politik tetapi tidak ada sambutan,” katanya.
Beliau berkata kejayaan badan penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menerapkan soal integriti dan governans berjaya membolehkan wang RM15.5 bilion dikembalikan kepada negara.
“Individu berintegriti sudah tentu seorang yang tidak rasuah, manakala tadbir urus yang baik pada asasnya bermaksud nilai murni serta aspirasi kemanusiaan yang luhur,” kata beliau.
Pada majlis berkenaan, Majlis Bandaraya Pasir Gudang dinobatkan penerima Anugerah Perdana Menteri bagi sektor awam manakala Duopharma Biotech Bhd bagi sektor swasta.
-- BERNAMA