Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- BlackBerry Limited Ltd mengumumkan Malaysia menggunakan platform BlackBerry AtHoc dan penyelesaian BlackBerry SecuSUITE untuk melindungi komunikasi dan individu semasa acara Sidang Kemuncak ASEAN pada 2025.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang diadakan pada Mei dan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur turut menggunakan platform dan penyelesaian itu.
Sidang Kemuncak ASEAN, diselaraskan oleh Kementerian Luar Malaysia melalui Sekretariat Logistik Utama ASEAN (SILA), mengumpulkan kalangan ketua negara, menteri dan pegawai dari negara anggota ASEAN serta rakan utama dari Amerika, Eropah, Afrika dan Asia.
Dalam kenyataan hari ini, BlackBerry menjelaskan SILA telah memperluas penggunaan platform komunikasi selamat BlackBerry untuk melindungi operasi kawalan dan arahan dalam lingkungan pusat operasi sidang kemuncak serta individu yang sentiasa bergerak.
Menurut syarikat itu, Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan melibatkan 150 pegawai perhubungan, dengan kesemua mereka dilengkapi dengan AtHoc dan SecuSUITE pada peranti iOS dan Android standard.
“Fleksibiliti ini membolehkan pegawai perhubungan berkomunikasi secara selamat dengan delegasi pelawat dan pasukan asing, mengurangkan bilangan peranti yang diperlukan di samping mengekalkan suara yang disulitkan secara menyeluruh dan melindungi mesej dari mana-mana lokasi,” tambahnya.
Ketua Pegawai Esekutif BlackBerry John Giamatteo berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, menetapkan standard baharu bagi komunikasi selamat negara untuk beroperasi pada saiz yang diperlukan.
“Sidang Kemuncak ASEAN adalah antara acara diplomatik paling kompleks di rantau ini, melibatkan lebih 500 mesyuarat dan beribu kakitangan daripada pelbagai agensi kerajaan,” menurut BlackBerry.
-- BERNAMA