AM

LEBIH 6,600 SERTAI IPR, 40 PERATUS RAIH PENDAPATAN LEBIH RM2,000 SEBULAN

22/10/2025 03:48 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Sebanyak 6,655 peserta daripada golongan miskin tegar, miskin dan B40 telah menyertai Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) sejak diperkenalkan pada 2022 hingga Oktober tahun ini, kata Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib.

Beliau berkata sebanyak 40 peratus daripada keseluruhan peserta itu telah berjaya memperoleh pendapatan bulanan melebihi RM2,000 hasil penyertaan dalam program berkenaan.  

“Sebagai contoh, di bawah IPR Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) terdapat peserta telah berjaya memperoleh pendapatan bulanan hingga RM5,000. Sementara itu, peserta IPR Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) pula mencatat purata hasil jualan bulanan antara RM2,500 hingga RM15,000,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) yang ingin tahu perkembangan terkini pelaksanaan IPR termasuk jumlah penerima manfaat setakat ini, kadar kejayaan peserta keluar daripada kategori miskin tegar dan B40 serta strategi baharu bagi memastikan keberkesanan program itu di seluruh negeri khususnya Sarawak.

Hanifah Hajar berkata bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan IPR, Kementerian Ekonomi telah melaksanakan beberapa langkah strategik termasuk menjalin kerjasama dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk memberi latihan literasi kewangan kepada peserta di seluruh negara.

Selain itu, beliau berkata kementerian juga melaksanakan pemantauan menggunakan dashboard operasi dalam talian, menyediakan bimbingan teknikal berterusan serta bekerjasama dengan syarikat swasta tempatan sebagai pembeli atau off-takers bagi mengelakkan risiko kerugian kepada peserta.

Hanifah Hajar berkata kementerian turut memperluas kerjasama strategik dengan agensi pembangunan seperti Highlands Development Authority (HDA) dan Upper Rajang Development Agency (URDA) bagi pelaksanaan IPR-INTAN di Sarawak.

Menjawab soalan tambahan Rodiyah mengenai keberkesanan IPR di Sarawak, beliau berkata sebanyak 329 peserta B40 di negeri itu telah mendapat manfaat menerusi program berkenaan.

“Sebagai contoh, di bawah IPR-INSAN, terdapat peserta yang menjana pendapatan hasil jualan melalui mesin layan diri hingga RM7,000 di Hospital Sibu. Sementara itu, 90 peserta IPR-INTAN memperoleh pendapatan sekitar RM2,000 menerusi projek pertanian di Lundu, Kuala Lawas, Lubok Antu dan Tanjung Manis.

“Bagi membantu golongan miskin tegar untuk keluar daripada kategori miskin tegar, kerajaan merancang untuk melaksanakan laporan penilaian outcome bagi melaksanakan IPR hingga 2025. Indikator digunakan tidak terhad kepada aspek pendapatan semata-mata, tetapi turut melihat kepada aspek pembangunan modal insan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan