Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Penjajaran dasar yang lebih dekat antara ASEAN dan Korea Selatan adalah kunci untuk memanfaatkan fasa seterusnya dalam pertumbuhan digital akan datang di Asia Tenggara termasuk memupuk hubungan ekonomi yang saling menguntungkan, kata seorang pakar penyelidikan teknologi.
Pengarah Dasar Siber dan Teknologi Institut Kajian Strategik & Antarabangsa Malaysia (ISIS) Farlina Said berkata ini juga akan menjamin penyertaan inklusif merentasi ekonomi anggota.
Sehubungan dengan itu, kedua-dua rantau ini telah membuat kemajuan yang ketara dalam kerjasama digital di bawah Pelan Tindakan ASEAN-Republik Korea (ROK) 2026-2030, katanya kepada Bernama.
Pelan Tindakan ASEAN-ROK menggariskan kerjasama strategik dalam ekonomi digital, peralihan tenaga, fasilitasi perdagangan termasuk kesalinghubungan antara individu.
Untuk meningkatkan lagi hubungan tersebut, para pemimpin ASEAN yang berkumpul di Kuala Lumpur bersempena sidang kemuncak pertubuhan itu pada minggu depan harus mengambil perhatian bahawa langkah selanjutnya perlu membabitkan usaha membangunkan standard bersama serta respon yang diselaraskan dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber dan tadbir urus data.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, yang bertemakan “Rangkuman dalam Kemapanan”, akan diadakan mulai 26 hingga 28 Oktober, dengan penyertaan pemimpin tertinggi dari 10 negara anggota ASEAN serta rakan kongsi dialog utama seperti Amerika Syarikat, China, Korea Selatan, Jepun dan India.
Walaupun para pemimpin ASEAN dijangka mengadakan perbincangan dengan rakan kongsi dialog termasuk Korea Selatan, republik itu dijadualkan memeterai perjanjian perdagangan bebas dengan Malaysia.
Farlina menekankan bahawa pengharmonian harus bergerak seiring dengan matlamat ASEAN untuk meningkatkan hubungan serantau dalam aliran data, perniagaan dan bakat - tema teras Pengerusi ASEAN 2025 Malaysia, yang mengutamakan masa depan digital yang terkait, selamat dan inklusif.
“Aliran individu, perniagaan serta data yang lebih meluas akan menetapkan asas bagi pengharmonian, yang seterusnya menyokong pertumbuhan sebagai tonggak utama hubungan serantau.
“ASEAN dan Korea Selatan mungkin tidak banyak berbeza dalam prinsip tetapi perbezaan dalam amalan dan definisi memberi peluang untuk koordinasi yang lebih besar,“ katanya.
Merapatkan Jurang Digital
Beliau mengemukakan bahawa Akta Kecerdasan Buatan (AI) Korea Selatan, yang mentakrifkan “AI berimpak tinggi”, boleh menjadi titik rujukan untuk ASEAN memandangkan rantau ini sedang membangunkan kerangka kerja digitalnya sendiri.
“Pertukaran dasar seperti ini mampu mengukuhkan model tadbir urus ASEAN sambil menyokong inovasi dan perlindungan pengguna,” katanya.
Farlina berkata kedua-dua pihak juga dapat memperdalam kerjasama yang melibatkan mekanisme tindak balas kejadian, terutamanya dalam menangani penipuan dan melindungi infrastruktur kritikal.
“Titik sentuhan operasi serta perkongsian maklumat akan membantu membina kepercayaan digital dan meningkatkan keupayaan pengurusan semasa krisis.
“Inisiatif seperti Ekosistem Data Asean-Korea serta Program Pertumpuan dan Penyebaran AI Korea-ASEAN bertujuan untuk menghubungkan matlamat digital ASEAN dengan kepakaran teknologi Korea Selatan,” katanya.
Beliau selanjutnya memberitahu bahawa usaha mengekalkan pertumbuhan yang seimbang di kalangan negara anggota ASEAN memerlukan inisiatif praktikal seperti latihan bersama dan program peningkatan bagi membantu ekonomi yang lebih kecil mengambil bahagian secara bermakna dalam rantaian nilai serantau.
“Kerjasama semacam ini bukan sahaja akan menguatkan daya saing digital ASEAN tetapi juga sejajar dengan wawasan untuk merapatkan jurang pembangunan”.
Semangat inklusif dalam strategi Indo-Pasifik Korea Selatan, yang melengkapkan Visi ASEAN 2045, memantapkan lagi komitmen bersama kepada perkongsian berasaskan peraturan dan inovasi, katanya.
“ASEAN dan Korea Selatan mengiktiraf bahawa penjajaran strategik perlu digabungkan dengan keterangkuman ekonomi dan inovasi digital,” katanya.
-- BERNAMA