AM

MALAYSIA LANCAR LAPORAN ASEAN AHEAD, TEMPATKAN ASEAN SEBAGAI KUASA BESAR GLOBAL

22/10/2025 05:56 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Malaysia dan penyelidik dari negara anggota ASEAN menghasilkan laporan bertajuk ASEAN Ahead: ASEAN STI Ecosystem Foresight 2035 and Beyond melalui Akademi Sains Malaysia (ASM) yang bertujuan menempatkan rantau ini sebagai kuasa besar global.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohammad Yusof Apdal berkata laporan itu berfungsi sebagai pelan strategik yang menggariskan hala tuju masa hadapan ekosistem sains, teknologi dan inovasi (STI) serantau. 

“Laporan yang akan dilancarkan secara rasmi pada Jumaat (24 Okt) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu membuktikan kepakaran Malaysia yang diiktiraf serta komitmen teguh ASM dalam memperkukuh kerjasama saintifik serantau dan jangkaan masa hadapan secara kolektif,” katanya ketika berucap pada majlis ASM-Bengkel Persatuan Akademi dan Sains Asia bertemakan “Addressing Global Challenges in a Postnormal World” di sini hari ini.

Turut hadir Presiden ASM Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim yang juga Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) kepada Perdana Menteri.

Mohammad Yusof berkata laporan itu mencerminkan komitmen serantau terhadap perancangan masa hadapan dan bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan ASEAN dalam menangani cabaran global yang kompleks dan tidak menentu melalui kerjasama, keselarasan dan perpaduan.

“Melalui inisiatif itu, kita diingatkan bahawa perancangan bukan sekadar untuk meramal masa hadapan tetapi bagaimana untuk mencorakkannya,” katanya.

Mohammad Yusof turut menyeru ahli AASSA supaya bekerjasama memperkukuh inisiatif masa hadapan itu pada peringkat nasional dan Malaysia bersedia berkongsi metodologi serta meneroka kaedah untuk menyelaraskan rangka kerja data bagi meningkatkan daya tahan dan kemakmuran bersama di rantau ini.

Beliau berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, laporan analisis trend mega berkala yang dibangunkan menggunakan pendekatan perancangan masa hadapan akan diterbitkan untuk menjadi panduan serta memaklumkan pelaksanaan aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (RDCI).

Beliau berkata cadangan Malaysia bagi penubuhan APEC Open Science Alliance (APECOSA) turut diketengahkan sebagai sebahagian daripada usaha untuk mempromosikan perkongsian data secara terbuka dan bertanggungjawab.

Usaha yang bertujuan menghubungkan pusat tumpuan untuk sains terbuka di rantau ini menjelang 2026 turut mendapat sambutan menggalakkan daripada APEC.

“Saya mempelawa semua untuk mengamalkan perkongsian data secara terbuka dan bertanggungjawab, dan kami yakin ahli AASSA dapat menyumbang dengan lebih berkesan, melalui penyelarasan kepakaran serantau bersama inisiatif global bagi memastikan ilmu sains dapat diakses serta memberi impak,” katanya.

Bengkel dua hari bermula 22 hingga 23 Okt itu anjuran bersama AASSA dan ASM, menghimpunkan lebih 100 peserta serta wakil akademi dan persatuan sains negara anggota untuk membincangkan pendekatan berasaskan sains dalam menangani cabaran global yang kompleks.

Sementara itu, dalam ucapan alu-aluannya, Tengku Mohd Azzman Shariffadeen berkata laporan itu menonjolkan bagaimana kepintaran perancangan masa hadapan dan mekanisme tadbir urus bersama dapat membantu negara bersiap sedia mendepani gangguan, menyelaras keutamaan strategik dan mengurangkan pertindihan usaha.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan