KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Laporan Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN (AGTF) akan dibentangkan pada Mesyuarat Bersama Menteri Luar dan Menteri Ekonomi ASEAN yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.
Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin berkata pembentangan itu akan menumpukan kepada penyeragaman dan penyelarasan yang lebih rapi antara Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) dan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).
Beliau yang mengetuai Pegawai Kanan (SOM) ASEAN Malaysia berkata mesyuarat itu turut dijangka mengeluarkan satu kenyataan yang menyentuh hala tujuh koordinasi atau penyelarasan antara dua komuniti itu supaya boleh dimantapkan lagi untuk kepentingan ASEAN.
“Petang ini kita telah adakan mesyuarat bersama pegawai kanan tonggak politik-keselamatan dan tonggak ekonomi. Ini antara usul yang telah dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa AMM (Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58) Julai lepas.
“Perdana Menteri telah melontarkan dasar untuk ASEAN ambil tindakan iaitu penyelarasan yang lebih rapi antara APSC dengan AEC,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersama SOM dan Mesyuarat Pegawai Kanan Ekonomi (SEOM) di sini hari ini.
Amran berkata mesyuarat itu turut mendengar taklimat daripada AGTF berhubung situasi geopolitik dan geoekonomi di rantau ini serta di peringkat antarabangsa termasuk cabaran, risiko dan peluang yang dihadapi ASEAN.
Malaysia yang merupakan Pengerusi ASEAN tahun ini dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” akan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt ini.
-- BERNAMA
