JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS TAHAN ENAM INDIVIDU BANTU SIASATAN KES BUNUH LELAKI BANGLADESH

23/10/2025 11:31 PM

ALOR SETAR, 23 Okt (Bernama) -- Enam individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang lelaki warga Bangladesh di sebuah rumah di Kampung Jalan Yan, dekat Guar Chempedak, hari ini.

Ketua Polis Daerah Yan Supt Mohamad Hamizi Abdullah berkata mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki warga tempatan dan empat lelaki Bangladesh berusia 29 hingga 44 tahun, dipercayai tinggal serumah dengan mangsa.

“Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 1 tengah hari tadi apabila suspek iaitu seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun menegur mangsa berusia 37 tahun yang merupakan rakan sekerjanya kerana lewat untuk ke tempat kerja.

“Suspek yang tidak berpuas hati telah mengambil satu besi kecil manakala mangsa telah ke dapur untuk mengambil parang. Mangsa kemudiannya terus melibas parang berkenaan ke aras suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek berjaya mengelak libasan parang berkenaan lalu melempar besi itu ke lantai sebelum mencapai wayar kabel berhampiran dan menjerut leher mangsa.

“Semasa sedang bergelut, suspek dapati mangsa sudah tidak sedarkan diri. Suspek kemudiannya ke balai polis untuk membuat laporan berhubung kejadian, dan hasil siasatan telah menemukan tiga kesan jerutan di leher dan luka di bahagian bibir mangsa.

“Polis telah merampas satu gulung wayar, sebilah parang dan satu batang besi konkrik. Kesemua yang ditahan bekerja sebagai buruh binaan dan permohonan reman akan dibuat esok,” katanya.

Mohamad Hamizi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan