AM

KELULUSAN TENDER SAINS PERLU DIBERIKAN KEPADA WARGA TEMPATAN - AMINUDDIN

24/10/2025 11:12 AM

SEREMBAN, 24 Okt (Bernama) -- Setiap kelulusan tender Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) perlu diberikan kepada warga tempatan dan bukan sebaliknya, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan peluang pekerjaan serta limpahan ekonomi dapat dinikmati rakyat tempatan.

“Pada mesyuarat Lembaga Tender SAINS semalam, saya menegaskan bahawa kelulusan tender hendaklah diberikan kepada warga Malaysia.

“Kerajaan Negeri Sembilan akan sentiasa memastikan setiap dasar dan keputusan yang dibuat berpaksikan kepentingan rakyat serta menyokong pembangunan ekonomi negeri secara inklusif dan berdaya saing,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan semua pihak bagi memperkukuh jaringan perdagangan dan memperluas peluang ekonomi, termasuk dalam kalangan usahawan Islam di Negeri Sembilan.

Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata cadangan kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan Dewan Perdagangan Islam Malaysia Negeri Sembilan berpotensi memperkasa agenda keusahawanan berteraskan nilai Islam dan pembangunan mapan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan