AM

KERAJAAN MELAKA KENAL PASTI TANAH TERBIAR UNTUK BANGUNKAN PROJEK AKUAKULTUR

24/10/2025 03:04 PM

JASIN, 24 Okt (Bernama) -- Kerajaan Melaka telah mengenal pasti beberapa kawasan tanah terbiar milik kerajaan untuk dibangunkan sebagai tapak projek akuakultur bagi membantu nelayan meningkatkan sumber pendapatan serta memperkukuh keterjaminan makanan negeri.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha memperluas sektor akuakultur sebagai sumber ekonomi baharu kepada komuniti nelayan yang terjejas akibat kekurangan hasil tangkapan laut serta pelaksanaan projek tambakan laut.

“Kita tidak akan biarkan nelayan kehilangan sumber rezeki... justeru kerajaan negeri akan memanfaatkan tanah-tanah kerajaan yang tidak digunakan untuk dijadikan tapak projek akuakultur bagi membantu nelayan menjana pendapatan tetap.

“Ia melibatkan tiga kawasan utama, iaitu Melaka Barat, Jasin dan Melaka Tengah, dengan setiap kawasan akan dibangunkan mengikut kesesuaian serta potensi setempat,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Benih Udang Putih Projek Ternakan Udang Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Fasa II di Kampung Sebatu, Sungai Rambai, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah LKIM, Hamdan Mamat.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata bagi kawasan di Melaka Barat, projek itu akan dilaksanakan berhampiran jeti sedia ada, manakala di Jasin, projek berkenaan telah dimulakan dan akan diperluas.

Sementara itu, di Melaka Tengah, beberapa tanah kerajaan yang tidak digunakan akan diambil balik serta diserahkan kepada persatuan nelayan untuk diusahakan.

“Kita mahu nelayan terus memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan walaupun hasil tangkapan laut semakin berkurangan... melalui projek seperti ini, pendapatan mereka akan terus terjamin.

"Kita juga menyeru semua nelayan supaya berdaftar di bawah persatuan bagi membolehkan data diselaraskan dan bantuan kerajaan dapat disalurkan secara lebih teratur dan menyeluruh," katanya.

Beliau berkata sebanyak satu juta benih udang putih dilepaskan di tapak projek berkenaan yang dilaksanakan menerusi projek pemerkasaan ternakan udang dengan peruntukan RM350,000 di bawah dana Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Katanya, bantuan itu merangkumi benih dan peralatan ternakan kepada Persatuan Nelayan Negeri Melaka, manakala hasil tuaian udang dijangka diperoleh seawal Januari tahun depan dan akan disalurkan terus kepada persatuan untuk manfaat semua ahli berdaftar.

“Bagi tahun ini sahaja, Melaka menerima hampir RM21 juta peruntukan di bawah KPKM yang disalurkan secara berfasa kepada jabatan serta agensi, melibatkan pelbagai projek pertanian, ternakan dan akuakultur di seluruh negeri,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan