AM

MALAYSIA LANCAR TIGA INISIATIF PERKUKUH KETERANGKUMAN DAN KEMAMPANAN

24/10/2025 06:59 PM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Malaysia mencapai detik bersejarah dalam peranannya selaku Pengerusi ASEAN 2025 menerusi pelancaran tiga Inisiatif ASEAN mengenai Keterangkuman dan Kemampanan hari ini, yang bermatlamat memperkukuh komitmen rantau ini terhadap keterangkuman, kemampanan dan pembangunan berwawasan.

Tiga inisiatif berkenaan ialah Pusat Kecemerlangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (MSME) untuk Peralihan Hijau di ASEAN (MEGA), laporan ASEAN Ahead: ASEAN STI Ecosystem Foresight 2035 and Beyond serta buku ASEAN 2025: Shaping an Inclusive and Sustainable.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ketiga-tiga inisiatif berkenaan bukan sahaja mencerminkan legasi Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, tetapi juga memberi manfaat berterusan kepada ASEAN dan negara anggotanya pada masa hadapan.

Beliau berkata setiap inisiatif itu mempersiapkan ASEAN untuk menghadapi dunia yang berubah dengan pantas serta mengulangi komitmen kolektif rantau ini dalam membentuk masa depan yang inklusif dan mampan.

“MEGA melambangkan prinsip bahawa transformasi ekonomi perlu bermula dari peringkat akar umbi. Di seluruh rantau ini, PKS (MSME) merupakan tulang belakang ekonomi kita. Mereka menggajikan sebahagian besar tenaga kerja dan menjadi pemacu inovasi tempatan.

“Menerusi MEGA, MSME akan menerima akses hab pendidikan dan latihan yang akan memudahkan peralihan mereka ke model perniagaan hijau dan lestari.  

“Dengan memberikan peluang kepada semua perniagaan untuk menyertai peralihan hijau, kita bukan sahaja melindungi mata pencarian, tetapi juga mempersiap ekonomi ASEAN menghadapi cabaran masa depan yang rendah karbon,” katanya.

Mohamad berkata demikian dalam ucaptama pada majlis pelancaran Inisiatif ASEAN mengenai Keterangkuman dan Kemampanan yang diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang serta Timbalan Menteri Permbangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan.

Sementara itu, Mohamad berkata insiatif kedua iaitu laporan ASEAN Ahead: ASEAN Science, Technology and Innovation Ecosystem Foresight 2035 and Beyond mencerminkan kesungguhan rantau ini untuk bersedia menghadapi masa depan.

Beliau berkata laporan terbabit memperincikan trend utama, gangguan dan peluang yang akan membentuk bidang Sains, Teknologi, dan Inovasi (STI), di samping menyediakan laluan agar STI berperanan sebagai pemacu di sebalik pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan bersama ASEAN.

“Menerusinya, kita akan memastikan kemajuan ASEAN bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya berpandukan pengetahuan, dipacu oleh inovasi dan menuju masa hadapan yang inklusif serta mampan,” katanya.

Mohamad berkata buku ASEAN in 2025: Shaping an Inclusive and Sustainable pula menghimpunkan pandangan daripada lebih 30 pemikir terkemuka di rantau ini merangkumi bidang geopolitik, kemampanan, perdagangan, ekonomi dan teknologi.

Beliau berkata buku berkenaan juga turut menjadi peringatan bahawa kedudukan dan kepentingan ASEAN tidak boleh diambil mudah atau dianggap terjamin.

Sementara itu, Mohamad ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran itu berkata pembangunan ASEAN perlu diurus dengan baik bagi mengelak kemudaratan terhadap alam sekitar dan masyarakat.

Justeru, beliau berkata pelancaran tiga inisiatif utama itu adalah langkah penting untuk memastikan kemajuan serantau tidak mengorbankan kesejahteraan alam sekitar.

Beliau berkata pembangunan ASEAN untuk dua dekad akan datang perlu mengambil kira kepentingan sains, teknologi hijau serta pemeliharaan alam sekitar agar tidak ada pihak yang dipinggirkan dalam proses kemajuan.

“Bila orang cakap tentang sains dan teknologi, tidak bermakna kita meninggalkan alam sekitar… kita mahu supaya 20 tahun (akan datang) Visi Komuniti ASEAN 2045 ini diteraskan pembangunan dan aktivitinya, berteraskan kepada tiga perkara pokok ini supaya kita tidak hilang arah dan punca.

“Nanti kita nak membangun tetapi memusnahkan alam sekitar, menyebabkan alam sekitar terjejas dan mendatangkan kemudaratan kepada rakyat dan masyarakat. Jadi, kita mahu supaya pembangunan betul tetapi mesti diurus dengan baik,” katanya.

-- BERNAMA 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan