Oleh Nur Atiq Maisarah Suhaimi & Christine Lim
KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Penganalisis menyifatkan Mesyuarat Bersama Menteri-Menteri Luar dan Ekonomi ASEAN yang bakal berlangsung sebagai langkah yang tepat pada masanya dan signifikan dalam menangani cabaran geopolitik serta ekonomi yang saling berkait, menandakan potensi titik perubahan penting bagi rantau ini.
Mesyuarat itu dijangka diadakan hari ini.
Keputusan ASEAN untuk mengadakan mesyuarat bersama dilihat sebagai satu perubahan daripada amalan biasa, menggambarkan tindak balas adaptif terhadap landskap global yang semakin tidak menentu.
Mesyuarat seumpama ini kali terakhir diadakan pada 1999, dan walaupun satu lagi pernah dicadangkan pada 2003, tiada rekod rasmi yang mengesahkan ia dilaksanakan. Sekiranya benar, pertemuan kali ini bakal menjadi yang pertama dalam tempoh lebih dua dekad.
Penganalisis geostrategik Prof Dr Azmi Hassan berkata mesyuarat bersama itu, yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025 selepas 26 tahun, amat penting bagi mencapai konsensus serantau mengenai isu geopolitik dan ekonomi yang saling berkaitan termasuk Myanmar, Laut China Selatan, isu sempadan Kemboja-Thailand, serta perang di Ukraine dan Gaza.
“Langkah ini amat wajar dan tepat pada masanya, malah tidak luar biasa untuk diadakan dalam konteks semasa, dan ia amat kritikal terutamanya dalam era Presiden AS Donald Trump apabila tiada lagi garis pemisah yang jelas antara geopolitik dan ekonomi,” katanya kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama.
Azmi berkata isu berkaitan tarif juga dijangka dibincangkan, sambil menekankan bahawa konsensus amat penting dalam menentukan pendirian ASEAN terhadap langkah perdagangan yang kini sering dijadikan alat geopolitik oleh kuasa besar.
Beliau menyuarakan harapan agar satu kenyataan bersama dan konsensus dapat dicapai, khususnya berhubung isu Myanmar dan Laut China Selatan, yang akan mencerminkan kejayaan Kepengerusian Malaysia memandangkan tidak semua mesyuarat ASEAN sebelum ini mencapai kesepakatan menyeluruh.
“Konsensus amat sukar dicapai kerana akan ada satu atau dua negara anggota yang tidak bersetuju. Jadi, sekiranya dapat dicapai, ia sangat signifikan dan menunjukkan keupayaan kepengerusian kita sepanjang hampir setahun ini,” katanya.
Sementara itu, Provost dan Dekan Pusat Pengajian Siswazah Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Prof Dr Barjoyai Bardai, berkata mesyuarat itu menekankan kepentingan perdagangan antarabangsa, kerjasama serantau dan mobiliti yang lebih besar dalam kalangan negara anggota ASEAN.
“ASEAN unik. Ramai penganalisis percaya dekad ini ialah dekad ASEAN, dan negara ASEAN akan menjadi tumpuan serta pusat pembangunan global,” katanya.
Barjoyai berkata ASEAN akan terus memainkan peranan penting sebagai hab dan jambatan antara Barat dan Timur, dengan mesyuarat itu dijangka membincangkan isu sempadan serta cara memanfaatkan peluang ekonomi rentas sempadan.
“Mesyuarat bersama ini ingin menunjukkan bahawa ASEAN bukan lagi kumpulan negara kecil, tetapi sebuah rantau besar dengan sumber yang berpotensi untuk dimanfaatkan,” katanya.
Mengambil contoh Komuniti Eropah, Barjoyai mencadangkan ASEAN menelusuri laluan serupa ke arah menjadi rantau yang lebih liberal, iaitu perdagangan, mobiliti dan kerjasama ekonomi lebih bebas serta bersepadu.
Beliau menambah bahawa mobiliti tenaga kerja, khususnya pergerakan tenaga mahir, dijangka menjadi semakin lancar apabila negara anggota ASEAN terus memfokuskan kepakaran dalam pelbagai bidang seperti semikonduktor, kewangan Islam dan produk halal.
“Kita boleh jangka dalam masa terdekat, mobiliti tenaga kerja, terutama golongan berkemahiran tinggi antara negara, akan menjadi lebih fleksibel apabila negara ASEAN semakin mengkhusus dalam bidang masing-masing dan mewujudkan peluang serantau,” katanya.
Ahli ekonomi itu turut berharap agar menteri ekonomi ASEAN dapat menilai serta memperincikan potensi setiap negara dan menyelaraskannya dengan keperluan ekonomi global supaya anggota ASEAN dapat saling melengkapi, bukan bersaing sesama sendiri.
“Nilai setiap negara berdasarkan potensi dan keupayaan masing-masing supaya negara ASEAN tidak perlu bersaing, sebaliknya menyatukan kekuatan mereka dari segi sumber kewangan, sumber semula jadi, bakat serta tenaga manusia,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa dengan Malaysia sebagai pengerusi mesyuarat ASEAN tahun ini, ia adalah masa paling sesuai untuk mengambil langkah strategik bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi serta taraf hidup rakyat di rantau ini melalui penggabungan kekuatan sesama negara anggota.
“Dengan memanfaatkan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan keanggotaan BRICS, pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi dapat dicapai,” katanya.
Malaysia akan mempengerusikan Sidang Kemuncak RCEP sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt.
RCEP, kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia, merangkumi 30 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global.
BRICS, yang merangkumi 20 negara dengan Malaysia sebagai negara rakan, mewakili kira-kira 40 peratus daripada KDNK global.
Bagaimanapun, Barjoyai menekankan perlunya keseimbangan halus dalam mengekalkan hubungan dengan kuasa besar dunia.
Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0 dijangka dimeterai semasa sidang kemuncak itu, dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dijangka hadir.
Menurut Barjoyai, AS juga merupakan pengimport utama produk semikonduktor Malaysia yang dikecualikan daripada tarif, manakala barangan lain kebanyakannya tertakluk kepada tarif sebanyak 19 peratus.
AS turut menjadi pelabur langsung asing (FDI) utama Malaysia dalam sektor semikonduktor.
-- BERNAMA
