AM

UNIMAS BANTU KOMUNITI KAMPUNG HASILKAN PRODUK HIJAU MELALUI PROGRAM ECOENZYME

25/10/2025 12:11 PM

KUCHING, 25 Okt (Bernama) -- Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menerusi Fakulti Sains dan Teknologi Sumber melaksanakan Program UNIMADANI EcoEnzyme@Muara Tebas, yang berjaya menghimpunkan penduduk Kampung Muara Tebas di sini bagi menjana pendapatan sampingan berasaskan produk mesra alam.

Program itu merupakan sebahagian daripada Program Pendayaan Komuniti Universiti Awam (Komuniti@UniMADANI) 2025 di bawah Kementerian Kewangan yang memberi peluang kepada pakar UNIMAS turun padang berkongsi pengetahuan dalam penghasilan eko-enzim.

Produk eko-enzim boleh digunakan sebagai baja semula jadi, bahan penyah bau dan pembersih serbaguna untuk tandas, lantai serta kawasan dapur.

Ketua Penyelidik projek Dr Dayang Norafizan Awang Chee, berkata inisiatif itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pencemaran alam sekitar akibat penggunaan bahan kimia sintetik yang boleh digantikan dengan bahan semula jadi seperti eko-enzim.

“Program ini bukan sahaja mendidik masyarakat mengurus sisa dapur secara lestari, tetapi juga membuka ruang kepada penduduk untuk menjadikan penghasilan ekoenzim sebagai produk komuniti yang berpotensi menjana pendapatan tambahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dayang Norafizan berkata rakyat Malaysia menghasilkan sekurang-kurangnya 37,890 tan metrik sisa makanan setiap hari dan bahan tersebut sebenarnya boleh diinovasikan menjadi pembersih semula jadi, baja cecair serta penyah bau organik melalui teknik penapaian yang betul.

Kira-kira 80 peserta, kebanyakannya suri rumah, menyertai bengkel itu yang merangkumi sesi demonstrasi pembuatan eko-enzim, perkongsian manfaat serta aktiviti gotong-royong kebersihan komuniti. Peserta juga didedahkan kepada pengetahuan mengenai pembungkusan, pelabelan dan strategi pemasaran produk melalui media sosial.

Seorang peserta, Norlia Sapek, berkata beliau teruja kerana berpeluang mempelajari cara mudah menjana pendapatan tambahan.

“Saya tidak sangka kulit buah yang biasa dibuang boleh dijadikan bahan pencuci dan baja semula jadi. Ia mudah dibuat dan menjimatkan kos. Selepas ini saya mahu cuba hasilkan sendiri dan promosikan di TikTok,” katanya.

Peserta lain, Habibah Lee, turut berharap bengkel seumpama itu diteruskan kerana memberikan manfaat besar kepada suri rumah.

“Teknik dan prosesnya mudah difahami serta boleh terus dipraktikkan di rumah. Ramai lagi kawan saya yang berminat selepas saya ceritakan pengalaman ini,” katanya.

Menurut Dayang Norafizan, hasil tinjauan pasukan penyelidik mendapati produk eko-enzim berpotensi dijual antara RM5 hingga RM15 sebotol, bergantung pada jenis dan saiz, sekali gus membantu komuniti menjana pendapatan tambahan.

Beliau menambah, projek itu mencerminkan komitmen UNIMAS dalam memperkukuh hubungan dengan komuniti serta menyokong aspirasi Malaysia MADANI dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya dalam aspek kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan sosial luar bandar.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan