AM

NIK ZALBIHA BUKTIKAN DUNIA DIGITAL MEDAN PERSAINGAN SAMA RATA

25/10/2025 12:08 PM

Oleh Nadia Jumri

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Di sebalik fizikalnya yang kerdil, tersimpan semangat kental dan minda tajam dalam diri Nik Zalbiha Nik Mat, yang berjaya mencipta sejarah sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) pertama memegang jawatan tertinggi dalam perkhidmatan awam Malaysia.

Berasal dari Kota Bharu, Kelantan, Nik Zalbiha, 59, kini mampu ‘berdiri sama tinggi’ dengan insan sempurna lain apabila dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Digital Negara (JDN). Pencapaian itu, katanya, merupakan hadiah paling bermakna buat ibu bapa yang tidak pernah jemu berkorban.

Mula menyertai perkhidmatan awam pada 1992, ibu kepada tiga cahaya mata dan satu-satunya berstatus OKU daripada tujuh beradik berkata dua cabaran utama yang dihadapinya sejak alam persekolahan hingga ke menara gading adalah kekangan infrastruktur kepada insan istimewa sepertinya selain persepsi negatif masyarakat.

“Meskipun kecacatan fizikal sering dianggap jurang pemisah, namun anugerah pemikiran dan kecerdasan yang tidak mengenal batas menjadi kunci utama kelangsungan hidup. Sebagai OKU, saya bersyukur dikurniakan akal setaraf insan lain.

“Semasa zaman persekolahan sekitar tahun 70-an dan 80-an, saya perlu menaiki tangga setiap hari untuk ke kelas, makmal atau pejabat kerana itu sahaja laluan yang ada. Di universiti pula, pelajar perlu berjalan jauh bagi setiap subjek sambil membawa beg dan buku yang berat,” katanya kepada Bernama sempena sambutan Hari Orang Kerdil Sedunia hari ini.

Nik Zalbiha yang memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang Keselamatan Maklumat dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata masih wujud tanggapan bahawa kecacatan fizikal turut mencerminkan kekurangan keupayaan mental dalam kalangan individu OKU.

“Pandangan ini sering dizahirkan melalui cara mereka melayan dan memandang saya, seolah-olah meragui kemampuan saya untuk berjaya. Ia menjadi halangan sosial yang besar. Saya bersyukur kerana keluarga tidak pernah malu, malah menghantar saya ke sekolah dan sentiasa memberi sokongan,” katanya yang mempunyai suami OKU serta tiga cucu.

Tiga falsafah yang membentuk kejayaannya ialah ketabahan mental dengan sikap positif, pendidikan sebagai aset utama dan kemahiran komunikasi berkesan , sambil menegaskan bahawa keyakinan diri lebih penting daripada simpati.

Selepas menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer pada 1989, beliau berkata pemilihan bidang teknologi maklumat (IT) merupakan saranan abangnya kerana bidang itu menawarkan prospek pekerjaan yang luas dalam sektor swasta dan kerajaan.

“Contohnya, bank mula menggunakan komputer untuk mengurus data dan selepas tamat belajar pada 1989, peluang kerja dalam bidang IT amat banyak. Tahun 1996 pula, kerajaan melancarkan Koridor Raya Multimedia (MSC), menjadikan IT sebagai sektor ekonomi utama yang menarik pelaburan besar,” katanya.

Berkongsi lanjut, Nik Zalbiha berkata penggunaan teknologi maklumat dalam pendidikan telah memacu pembelajaran jarak jauh dan menyokong penggunaan pembaca skrin, manakala dalam bidang ekonomi, ia membuka peluang pekerjaan digital serta keusahawanan dari rumah.

“Dalam aspek perkhidmatan sosial, teknologi maklumat turut menyumbang kepada peningkatan perkhidmatan kerajaan digital yang memudahkan urusan, sekali gus meningkatkan kebebasan dan penyertaan sosial OKU,” katanya.

Selaras visi JDN sebagai peneraju transformasi kerajaan digital yang mampan, inovatif, inklusif dan berdaya tahan, Nik Zalbiha berkata pihaknya sentiasa memperkasa serta mengarusperdanakan digitalisasi bagi komuniti OKU bagi memastikan setiap individu menikmati peluang sama rata hasil transformasi digital negara.

Menurutnya, antara strategi utama ialah memperkasa kemahiran digital OKU melalui latihan dan program kemahiran, selain meningkatkan akses kepada perkhidmatan kerajaan dengan memastikan semua sistem dan aplikasi mengikut reka bentuk sejagat yang mesra pengguna.

“Pembangunan teknologi mesra OKU menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan automasi bagi meningkatkan kualiti hidup serta peluang pekerjaan komuniti OKU juga perlu diberikan perhatian. Keterangkuman mesti dijadikan prinsip utama dengan memastikan konsep kebolehcapaian diarusperdanakan dalam setiap dasar digital negara,” katanya.

Nik Zalbiha menegaskan ilmu, disiplin dan integriti perlu dijadikan asas kukuh sepanjang perjalanan kerjaya kerana beliau percaya setiap wanita dan individu memiliki potensi luar biasa untuk memberi impak positif kepada masyarakat serta negara.

Sempena Hari Orang Kerdil Sedunia, beliau berharap masyarakat mengubah persepsi dengan beralih daripada simpati kepada penghormatan ikhlas dan menghapuskan diskriminasi terhadap golongan OKU fizikal.

“Hentikan perlakuan merendahkan, sokong inklusi sosial dan kerjaya orang kerdil, serta hormati autonomi peribadi dengan mengelak perbuatan yang melanggar hak individu seperti memegang atau mengangkat kami tanpa izin,” katanya.

Beliau berharap masyarakat dapat menerima orang kerdil sebagai individu yang utuh, setaraf dan berhak untuk mengambil bahagian sepenuhnya dalam setiap aspek kehidupan, sama seperti orang lain.

Nik Zalbiha yang diiktiraf sebagai Pakar Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Sektor Awam pada 2015 dan 2016 dalam bidang pembangunan sistem, terlibat secara langsung dalam lebih 20 projek pendigitalan agensi kerajaan.

Dilantik sebagai Perunding ICT pada 2023 sebelum dinaikkan sebagai Ketua Perunding ICT (Pembangunan Sistem) pada awal 2024, beliau turut berperanan dalam pembentukan Akta Perkongsian Data 2025 sebelum dilantik menerajui JDN sebagai Ketua Pengarah pada 5 Jun lepas.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan