KANGAR, 25 Okt (Bernama) -- Penganjuran Festival Warisan Nusantara 2025 (Warisan’25) di sini yang berlangsung empat hari bermula semalam menjadi platform memartabatkan seni, budaya dan warisan tempatan agar terus segar dalam kalangan generasi muda.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Luar Bandar Perlis Abu Bakar Hamzah berkata penganjuran festival itu amat signifikan dalam memperkukuh semangat kekitaan serta memupuk serta menzahirkan rasa cinta terhadap warisan bangsa yang tidak ternilai.
“Dalam mengejar arus kemodenan, kita tidak boleh sesekali melupakan akar budaya yang menjadi tunjang kekuatan bangsa. Anak muda perlu mengenali sejarah dan seni warisan agar mereka terus berbangga menjadi pewaris kepada tamadun yang hebat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan festival itu di Dewan Warisan di sini hari ini.
Abu Bakar berkata selain dapat memperkukuh apresiasi terhadap warisan Nusantara, festival seumpama itu turut berpotensi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.
“Saya amat mengharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana sebagai sasaran kerja utama pelancongan dan kebudayaan, kita memerlukan inisiatif sebegini untuk menjayakan visi Tahun Melawat Perlis 2024-2025 yang kini dilanjutkan sehingga 2026.
“Selain dapat menikmati pelbagai persembahan dan pertunjukan budaya, pengunjung juga berpeluang melawat destinasi pelancongan menarik di Perlis. Harapan saya agar festival ini dapat diteruskan lagi terutama pada tahun depan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Terdapat pelbagai pengisian termasuk persembahan kebudayaan, pameran warisan dan aktiviti interaktif yang menampilkan keunikan seni tradisi tempatan pada penganjuran festival itu.
-- BERNAMA
