KUALA LUMPUR, 25 Oct (Bernama) -- ASEAN mengguna pakai pendekatan lebih inovatif untuk menangani perkaitan yang semakin meningkat antara jenayah transnasional, pengubahan wang haram dan kesalahan yang wujud daripada teknologi siber canggih, termasuk penipuan dalam talian, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini.
Beliau berkata inisiatif Malaysia membawa kepada penubuhan Kumpulan Kerja Mesyuarat Pegawai Kanan mengenai Jenayah Transnasional (SOMTC) mengenai Pengubahan Wang Haram yang meningkatkan penyelarasan serantau dalam memerangi jenayah kewangan rentas sempadan dan rangkaian jenayah yang didorong siber.
"Isu berkaitan keselamatan yang kompleks sangat mempengaruhi struktur masyarakat, keselamatan rakyat dan menimbulkan ancaman langsung kepada daya tahan ekonomi dan keselamatan negara kita.
“Ini mengingatkan kita tentang keperluan untuk mengukuhkan kerjasama, penyelarasan dan usaha serantau untuk memerangi jenayah transnasional,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) ke-30 di sini, hari ini.
Mohamad menyeru negara anggota ASEAN untuk memperkukuh tindakan kolektif bagi melindungi keamanan dan kestabilan serantau apabila blok itu beralih daripada Pelan Tindakan APSC 2025 kepada Pelan Strategik ASEAN 2045, berpandukan penemuan utama daripada kajian semula penggal akhir pelan tindakan itu.
Beliau turut menekankan keperluan untuk menyesuaikan diri dalam menghadapi cabaran keselamatan global yang semakin mencabar, yang ditonjolkan daripada persaingan geopolitik, ketidaktentuan ekonomi dan ancaman rentas sempadan.
"Mengukuhkan mekanisme kerjasama merentasi pertahanan, penguatkuasaan undang-undang dan institusi undang-undang, adalah penting demi menjaga keamanan dan kestabilan serantau," katanya.
Mohamad berkata kerjasama pertahanan ASEAN juga telah mencapai kemajuan yang besar, merujuk kepada Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Campur sebagai platform utama memacu latihan bersama dan mengembangkan kerjasama dalam bidang baharu seperti keselamatan siber, maritim dan kesihatan.
Beliau berkata menteri pertahanan seterusnya bersetuju untuk mempertingkatkan kerjasama mengenai kecerdasan buatan (AI) dalam pertahanan, termasuk meningkatkan kesedaran tentang implikasi keselamatannya dan mempromosikan penggunaan AI yang bertanggungjawab dan beretika dalam bidang ketenteraan.
Mengenai hak asasi manusia, beliau memuji Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) kerana memperjuangkan hak kepada persekitaran yang selamat, bersih, sihat dan mampan, serta usahanya untuk mengukuhkan Garis Panduan ASEAN mengenai Prinsip Bukan Hukuman bagi mangsa pemerdagangan manusia.
Mohamad berkata Perjanjian Ekstradisi ASEAN yang dinanti-nantikan kini berada pada peringkat akhir dan dijangka ditandatangani bulan depan manakala Mesyuarat Agung Pendakwa/Peguam Negara ASEAN (APAGM) yang baru ditubuhkan akan mengukuhkan lagi penyelarasan serantau dalam pendakwaan dan usaha memerangi jenayah rentas negara.
Dalam ASEAN mengharungi landskap keselamatan yang lebih kompleks yang dibentuk oleh persaingan geopolitik dan geoekonomi yang semakin sengit, Mohamad menggesa blok itu untuk kekal bersatu, konsisten dan berpandangan ke hadapan.
"Mengukuhkan mekanisme kerjasama merentasi pertahanan, penguatkuasaan undang-undang dan institusi undang-undang akan menjadi kritikal untuk menjaga keamanan dan kestabilan serantau," katanya.
APSC ialah sebahagian siri mesyuarat yang diadakan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan merupakan satu daripada tiga tonggak Komuniti ASEAN, selain Komuniti Ekonomi (AEC) dan Komuniti Sosio-Budaya (ASCC), yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.
Ditubuhkan di bawah Bali Concord II pada 2003, APSC berusaha untuk mewujudkan wilayah yang hidup dalam keamanan, keharmonian dan keadilan, berasaskan demokrasi, tadbir urus yang baik dan menghormati hak asasi manusia dan kebebasan asas.
-- BERNAMA
