AM

SEMUA PIHAK PERLU TINGKATKAN KEMAHIRAN, JS-SEZ BUKA PELUANG KEPADA USAHAWAN JOHOR

25/10/2025 03:32 PM

JOHOR BAHRU, 25 Okt (Bernama) -- Semua pihak terutama usahawan dan peniaga diseru meningkatkan kemahiran serta melengkapkan diri dengan kemahiran baharu supaya mampu bersaing pada peringkat global, sekali gus merebut peluang diwujudkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata usaha meningkatkan kemahiran dan menyesuaikan kemahiran baharu amat penting bagi memastikan rakyat Johor mampu bersaing pada peringkat global serta seiring pembangunan negara maju.

“Melalui peluang diwujudkan oleh JS-SEZ, akan ada banyak pekerjaan dan peluang untuk usahawan. Kawasan JS-SEZ meliputi keluasan 3,500 kilometer persegi akan menumpukan kepada pelbagai sektor termasuk pembuatan, logistik, runcit serta pelancongan.

“Banyak jenama besar akan berada di Johor dan usahawan tempatan berpotensi untuk maju melalui JS-SEZ dengan pelbagai peluang serta insentif ditawarkan menerusi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA),” katanya.

Onn Hafiz berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Johor Business Summit & Expo (JBSE 2025) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.

Beliau berkata usahawan perlu memainkan peranan aktif memperkukuh keupayaan serta daya saing masing-masing walaupun kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan insentif. 

Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata kerajaan negeri hanya mahu menampilkan usahawan dan peniaga benar-benar berdaya saing serta mempunyai mutu perkhidmatan bertaraf tinggi bagi memastikan keyakinan pelabur asing dapat dikekalkan.

“Kita tidak mahu menawarkan pelabur usahawan yang berada bawah tahap standard atau sekadar biasa-biasa. Jika mereka tidak bersedia, pelabur mungkin berurusan sekali sahaja dan akhirnya mengadu kepada kerajaan negeri bahawa usahawan Johor tidak berada pada tahap sepatutnya.

“Ini cabaran besar perlu kita tangani. Tiada istilah makan percuma. Seperti saya perlu memperkukuh kepimpinan, usahawan juga mesti berusaha meningkatkan kemampuan dan kualiti perkhidmatan mereka,” katanya.

JBSE 2025 berlangsung dua hari bermula hari ini, antara lain menampilkan sesi forum menghimpunkan pakar industri, pembuat dasar dan pemimpin perniagaan bagi membincangkan hala tuju serta pertumbuhan sektor perniagaan di Johor.

Pameran juga menampilkan 80 gerai pameran yang mengetengahkan pembekal perniagaan, mesin, bahan mentah, pembungkusan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berasaskan Johor mempamerkan produk serta inovasi di bawah kempen “Meh Sapot Lokal”.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan