AM

PENYERTAAN TIMOR-LESTE SEBAGAI ANGGOTA ASEAN ANTARA KEJAYAAN NEGARA SELAKU PENGERUSI

26/10/2025 09:08 AM

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Deklarasi Penyertaan Timor-Leste ke ASEAN yang akan dimeterai pada sesi pembukaan rasmi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan hari ini merupakan antara kejayaan besar Malaysia sepanjang kepengerusiannya kali ini. 

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata deklarasi itu yang akan ditandatangani pemimpin ASEAN pada sesi hari ini, secara rasmi mengiktiraf Timor-Leste sebagai negara anggota ASEAN ke-11 sekali gus melengkapkan blok itu sebagai sebuah rantau yang bersatu. 

“Penyertaan Timor-Leste juga akan membawa dinamik baharu kepada tiga tonggak Komuniti ASEAN, Politik-Keselamatan, Ekonomi dan Sosiobudaya, serta menyumbang kepada citra jangka panjang mewujudkan Asia Tenggara yang benar-benar inklusif. 

“Di samping penyertaan Timor-Leste, kehadiran pemimpin-pemimpin global serta kejayaan diplomasi damai serantau menandakan kekuatan ASEAN sebagai blok yang matang, bersatu dan dihormati dunia,” katanya.

Semalam, Timor-Leste secara rasmi menyerahkan Instrumen Penyertaan kepada Piagam ASEAN dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) sekali gus mengesahkan penyertaan negara itu sebagai anggota ke-11 badan serantau berkenaan.

Kuala Lumpur hari ini menjadi pusat tumpuan dunia apabila Malaysia secara rasminya membuka tirai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Berkaitan, menandakan kemuncak kepada setahun kepimpinan negara sebagai Pengerusi ASEAN.

Sehubungan itu, Tunku Nashrul berkata selari tema Kepengerusian ASEAN 2025 “Keterangkuman dan Kemampanan” sekali lagi membuktikan keupayaan Malaysia memimpin rantau ini dengan visi berpaksikan perpaduan, keadilan dan masa depan yang mampan.

“Sidang kemuncak hari ini bakal menghimpunkan pemimpin ASEAN dan tetamu Pengerusi, menjadikan Kuala Lumpur pusat pertemuan diplomasi global di mana hala tuju politik, ekonomi dan kemanusiaan rantau ini akan ditelusuri bersama,” katanya.

Menurut Tunku Nashrul, pada sebelah pagi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyambut ketibaan Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan ASEAN serta Timor-Leste, diikuti Tetamu Pengerusi iaitu Brazil, Afrika Selatan, Kanada dan Kesatuan Eropah di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Majlis akan diteruskan dengan Pembukaan Rasmi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Anwar dijadual menyampaikan ucapan dasar yang menggariskan aspirasi Malaysia untuk melakar kesatuan ASEAN yang lebih inklusif dan mampan.

Tunku Nashrul berkata Perdana Menteri akan mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan diadakan dalam dua sesi utama iaitu Sesi Pleno dan Sesi Pemukiman.

Dalam Sesi Pleno, beliau berkata pemimpin akan meneliti kemajuan pembinaan Komuniti ASEAN serta membincangkan langkah memperkukuh integrasi serantau, pertumbuhan ekonomi dan keterhubungan.

Katanya perbincangan turut akan menyentuh hubungan luar dengan penekanan kepada perpaduan, kepusatan serta komitmen ASEAN terhadap sistem antarabangsa berasaskan hukum.

Sesi Pemukiman pula akan menumpukan kepada pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) berhubung situasi di Myanmar, selain pertukaran pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Sepanjang hari ini juga, Tunku Nashrul berkata Anwar akan menghadiri beberapa mesyuarat dua hala termasuk bersama Kesatuan Eropah, Jepun, Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Selain itu, beliau juga akan mempengerusikan beberapa sidang kemuncak termasuk Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-28, Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-22 (secara maya), Mesyuarat Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) ketiga serta Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat ke-13.

Beliau berkata Malaysia di bawah pimpinan Anwar akan terus istiqamah membawa kepimpinan serantau yang berprinsip dan berpaksikan rakyat agar ASEAN kekal menjadi tunjang kestabilan serta peneraju utama dalam membentuk masa depan Asia Tenggara yang aman, makmur dan berdaya tahan.

-- BERNAMA 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan