AM

MALAYSIA, ASEAN RAKAM PENGHARGAAN KEPADA TRUMP KERANA SOKONG USAHA DAMAI KEMBOJA-THAILAND - PM ANWAR

26/10/2025 03:32 PM

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN, merakamkan penghargaan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump atas peranan serta komitmen beliau dalam menyokong usaha yang membawa kepada perjanjian damai antara Kemboja dan Thailand.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata blok serantau itu menyambut baik keprihatinan, empati serta tekad Trump dalam mempromosikan keamanan dan kestabilan di rantau ini.

“Ketika saya mula-mula mendapat panggilan anda, anda menggesa saya untuk melakukan lebih banyak lagi bagi membantu inisiatif (damai) ini, dan anda secara peribadi menghubungi kedua-dua Perdana Menteri (Thailand dan Kemboja) bagi mendesak mereka mencari penyelesaian damai dengan segera… untuk itu, saya ingin mengucapkan terima kasih. 

“... sudah tentu kami mengagumi kesungguhan dan keberanian anda (dalam perkara ini) kerana dunia memerlukan pemimpin seperti anda yang lantang bersuara untuk mempromosikan keamanan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan bersama Trump majlis menandatangani perjanjian damai antara Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, yang dikenali sebagai Perjanjian Damai KL , di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang bermula hari ini.

Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Hadir sama menyaksikan detik bersejarah itu ialah Setiausaha Negara AS Marco Rubio dan Duta AS ke Malaysia Edgard D Kagan.

Perdana Menteri turut memuji Anutin dan Hun Manet atas komitmen mereka ke arah mencapai keamanan antara kedua-dua negara berjiran itu.

“Anda berdua telah melakukan tugas yang cemerlang. Kami berasa gembira mempunyai anda sebagai rakan sejawat dan sahabat sejati. Anda berdua memahami keperluan untuk memastikan keamanan demi melindungi rakyat kita serta mengekalkan kedudukan ASEAN sebagai rantau yang aman dan makmur,” katanya.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Rubio, Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer dan Kagan atas usaha mereka dalam memudah cara lawatan rasmi Trump ke Malaysia.

Thailand dan Kemboja sudah lama terjerumus dalam pertikaian berlanjutan membabitkan kawasan sempadan sepanjang 817 kilometer, dengan ketegangan terbaru mencetuskan konfrontasi ketenteraan pada 24 Julai lepas.

Pada 28 Julai lepas,  Anwar menganjurkan mesyuarat di Putrajaya antara Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai yang berjaya meredakan ketegangan di sepanjang sempadan kedua-dua negara melalui persetujuan untuk melaksanakan gencatan senjata.

Gencatan senjata itu, yang disifatkan sebagai satu pencapaian besar ASEAN, berjaya menghalang peningkatan konflik ketenteraan dan menjamin keselamatan ribuan orang awam.

Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bermula hari ini hingga 28 Okt depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan