BERLIN, 26 Okt (Bernama-dpa) -- Pelumba McLaren, Lando Norris mencatat masa terpantas dalam sesi latihan akhir Grand Prix Formula Satu (F1) Mexico pada Sabtu, lapor agensi berita Jerman dpa.
Pelumba yang turut bersaing bagi kejuaraan dunia itu mencatat masa 1 minit 16.633 saat, menyaingi pelumba Ferrari, Lewis Hamilton dengan kelebihan 0.345 saat. George Russell dari Mercedes melengkapkan tiga pelumba teratas — semuanya dari Britain.
Pendahulu kejuaraan, Oscar Piastri berada di tempat kelima, 0.599 saat di belakang rakan sepasukan Norris, manakala juara bertahan Red Bull, Max Verstappen berada di tempat keenam.
Selepas kemenangan di Grand Prix Amerika Syarikat minggu lalu, Verstappen mengakui beliau kini turut berada dalam perebutan gelaran bersama dua pelumba McLaren, Piastri dan Norris.
Lima perlumbaan lalu, pelumba Red Bull itu ketinggalan 104 mata di belakang Piastri, namun kini jurang berkurang kepada 40 mata.
Piastri pula gagal menaiki podium dalam tiga perlumbaan berturut-turut, sekali gus membolehkan Norris merapatkan kedudukan kepada hanya 14 mata.
Sesi kelayakan bagi perlumbaan Ahad dijadual berlangsung lewat Sabtu.
-- BERNAMA-dpa
